MALAYSIA
Empat warga tempatan jadi mangsa penipuan di Tangkak, rugi lebih RM21,000

Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 35 hingga 76 tahun dan melibatkan empat sindiket penipuan berbeza.
JOHOR BAHRU: Polis Johor menerima empat laporan berasingan berkaitan penipuan yang menyebabkan kerugian keseluruhan berjumlah RM21,300.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 35 hingga 76 tahun dan melibatkan empat sindiket penipuan berbeza.
"Laporan diterima antara 2 Jun hingga 22 Julai lepas itu membabitkan penipuan tiket loteri awam secara bersemuka, penipuan pinjaman tidak wujud dalam talian, penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian dan pemerdagangan palsu berkaitan tajaan tiket penerbangan bagi urusan jualan hartanah dalam talian.
"Kesemua mangsa mula mengetahui mengenai tawaran palsu itu bermula dari 2 Jun hingga 22 Julai lepas dengan transaksi berkaitan penipuan turut dilakukan dalam tempoh tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.Roslan berkata kesemua kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap sebarang tawaran yang menjanjikan keuntungan luar biasa, sama ada melalui pertemuan fizikal mahupun platform dalam talian.
"Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan kesahihan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami