KUALA LUMPUR: Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) MERCY Malaysia menerima pengesahan sebagai satu daripada pasukan Pengelasan Sejagat EMT di bawah kategori Tetap Jenis 1 oleh Inisiatif EMT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

MERCY Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pengesahan itu memberi penghormatan kepada mereka sebagai pertubuhan bukan kerajaan pertama dari Asia yang menjadi sebahagian daripada pasukan bebas yang bersedia ditempatkan di peringkat antarabangsa bagi kecemasan kesihatan sekiranya perlu.

Presiden MERCY Malaysia Prof Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dalam kenyataan sama menzahirkan penghargaan kepada WHO atas pengiktirafan itu termasuk sokongan mentor EMT yang ditugaskan yang membantu pasukan dari peringkat prapengesahan pada Julai 2022, mengenal pasti jurang dan memberikan nasihat yang amat diperlukan sehingga kini.

"Kami amat berbangga dan berbesar hati dengan pengesahan daripada WHO ini, satu penghormatan kepada Malaysia dan rantau Asia. Ia juga hadiah yang amat bermakna kepada MERCY Malaysia memandangkan kami akan menyambut ulang tahun ke-25 pada tahun depan.

"Sudah tentu pencapaian ini tidak datang dalam sekelip mata, ia hasil daripada pembelajaran dan pengembangan selama bertahun-tahun," katanya.

-- BERNAMA