Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan enam anggotanya telah disahkan positif COVID-19 ketika bertugas di seluruh negara.

Jelasnya, daripada jumlah itu seramai 335 ahli keluarga PDRM turut menunggu keputusan selepas menjalani saringan kesihatan COVID-19 ketika ini.

"Penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu begitu jelas menunjukkan bahaya ini bukan satu lakonan, ianya realistik boleh menjangkiti setiap warga PDRM. Ketika ini sudah enam orang positif dan ada 335 keluarga PDRM dibawah Patient Under Investigation (PUI). PDRM terpaksa mengambil risiko sehingga hari ini," katanya dalam temubual khas Astro AWANI pada Sabtu.

Jelasnya, meskipun berdepan risiko setiap hari namun pengurusan tertinggi PDRM sentiasa memberi semangat kepada warga mereka.

"Saya teruskan mesyuarat harian pagi dan petang bersama Timbalan Ketua Polis Negara dan 10 pengarah tertinggi PDRM, kami ada lakukan tele-sidang bersama 14 kontinjen yang ada. Kita sampaikan pesanan dan galakan kepada semua warga PDRM yang bertugas tentang keperluan mereka sentiasa berhemah dan kawal emosi," katanya sewaktu hadir pada Buletun AWANI Khas di sini hari ini.

Beliau turut menegur ketidakpatuhan segelintir masyarakat yang masih keluar dari kediaman mereka.

"Saya percaya ini terus berlaku tetapi dalam jumlah yang kecil seperti kejadian dimana masih kedapatan sekumpulan orang yang masih menjalankan aktiviti bersenam jadi kita terus tidak putus asa masih lagi dalam tahap mahu menyedarkan, memujuk rayu, berbagai taktik dan teknik digunakan petugas PDRM," jelasnya.

Ujar Abdul Hamid lagi, beliau percaya masyarakat akan terus memberikan kerjasama dari masa ke semasa sekaligus memberi ruang kepada kerajaan untuk menurunkan jangkitan pandemik COVID-19.

Terdahulu, ratusan sekatan jalanraya dijalankan di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.