MALAYSIA

Enam anggota polis direman bantu siasatan rasuah

Bernama 31/07/2025 | 10:05 MYT
Suspek didakwa menerima wang tunai daripada orang tengah selepas menahan lima individu dalam operasi Mei lalu. - Foto SPRM
KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang mereman enam anggota polis bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum.


Ringkasan AI
  • SPRM tahan enam anggota polis di Pahang: Direman tujuh hari sehingga 6 Ogos bagi siasatan kes rasuah RM12,000 berkaitan pemilikan air ketum di Temerloh.
  • Rasuah sebagai balasan tidak ambil tindakan: Suspek didakwa menerima wang tunai daripada orang tengah selepas menahan lima individu dalam operasi Mei lalu.
  • Siasatan di bawah Akta SPRM 2009: Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, disahkan oleh Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud.


Perintah reman selama tujuh hari hingga 6 Ogos itu dikeluarkan Majistret Khamisah Ismail selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.

Menurut sumber, kesemua lelaki berusia antara 30 hingga 50-an itu ditahan kira-kira 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Temerloh.

"Kejadian dipercayai bermula apabila semua suspek menahan lima individu dalam operasi di sekitar Temerloh, Mei lepas kerana disyaki memiliki air ketum.

"Seorang daripada suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara tunai daripada seorang individu yang bertindak sebagai orang tengah," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA




#anggota polis #Rasuah #SPRM #air ketum #temerloh