Enam beradik berusia antara tujuh dan 15 tahun, merayu agar permohonan mereka mendapatkan sijil kelahiran diberi kelulusan segera bagi membolehkan mereka bersekolah tahun ini.

Mohd Shukri Abdul Aziz, 15, Mohd Syafiq, 13, Mohd Anwar, 11, Mohd Haikal, 9, Mohd Kabil, 8, dan Nurul Soleha, 7, sebelum ini tinggal di Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis, namun kini tinggal bersama bapa saudaranya, Ahmad Meera Hussin, 40, di Taman Orkid, dekat sini selepas ibu bapa mereka hilang tanpa berita sejak November tahun lalu.

Anak sulung, Mohd Shukri berkata dia pernah bersekolah sehingga darjah enam, adiknya Mohd Syafiq bersekolah sehingga darjah tiga manakala empat adiknya yang lain tidak pernah bersekolah.

"Saya sedih dan kecewa apabila diminta berhenti sekolah sewaktu darjah enam hanya kerana tidak memiliki sijil kelahiran.

"Saya berharap dapat meneruskan persekolahan semula dan adik-adik yang lain juga turut dapat bersekolah seperti biasa," katanya ketika ditemui media di Taman Orkid, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, bapa saudara mereka, Ahmad merayu agar pihak berkenaan dapat membantu anak saudaranya memperoleh sijil kelahiran supaya mereka dapat kembali bersekolah.

"Selepas mereka berpindah dan tinggal dengan saya, saya cuba menghantar mereka ke sekolah, namun gagal kerana mereka tidak pernah memiliki sijil kelahiran.

"Pelbagai usaha termasuklah mengesan di mana ibu bapa mereka berada serta berjumpa pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun tetap menemui jalan buntu," katanya yang berharap agar ada pihak yang tampil membantu.