Enam dimasukkan ke hospital kerana terhidu gas

Ridzal Abdullah
November 25, 2019 06:31 MYT
Tindakan pantas anggota bomba kemudian menutup kebocoran sebuah silinder yang dipercayai mengandungi bahan kimia tersebut. - Foto JBPM
Enam individu termasuk dua kanak-kanak dikejarkan ke Hospital Lahad Datu selepas terhidu gas Acetylene di sebuah pusat pengumpulan besi buruk yang terletak di Batu 1 Setengah Jalan Dam, Lahad Datu, pagi tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Pegawai Bomba Kanan I, Abu Bakar Taraji ketika dihubungi berkata, kesemua mangsa terdiri dari lima lelaki dan seorang perempuan itu kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital berkenaan.
Beliau berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.56 pagi, sembilan anggota menggunakan tiga jentera FRT, EMRS dan kenderaan utiliti bergegas ke lokasi kejadian.
Tindakan pantas anggota bomba kemudian menutup kebocoran sebuah silinder yang dipercayai mengandungi bahan kimia tersebut.
Menurut Abu Bakar lagi, Gas Acetylene berkenaan telah dikenalpasti selepas disahkan oleh pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dan pemilik pusat pengumpulan besi buruk terbabit.
Operasi ditamatkan kira-kira pada pukul 11.42 pagi selepas kawasan sekitar dipastikan selamat.
#bomba #Kanak-kanak #Lahad Datu #mangsa #operasi #Sabah #terhidu gas beracun