SHAH ALAM: Seramai enam individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang ahli perniagaan di Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada rakan serumah mangsa, mengenai kehilangan lelaki berusia 41 tahun itu pada 26 April lalu.

"Sepasukan polis memberkas tiga lelaki, dua wanita tempatan sekitar Kajang dan Ampang serta rakan serumah mangsa pada 27 April lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini pada Selasa.

Hussein berkata, hasil siasatan, seorang daripada suspek yang juga seorang kontraktor berusia lewat 30-an mengaku membunuh ahli perniagaan dan mayat tersebut disumbat dalam bagasi sebelum dibuang di cerun bukit di Hulu Langat.

"Mangsa ditemukan lengkap berpakaian dengan keadaan tangan terikat serta kesan leher dijerut dengan kabel wayar," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas lima telefon bimbit termasuk satu daripadanya milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Axia milik salah seorang suspek.

“Motif kejadian adalah bagi mendapatkan harta milik mangsa. Ini kerana suspek ada masalah kewangan bagi membiayai peguam bagi kes berkaitan dadahnya sebelum mendapat idea bagi menculik, memeras dan membunuh rakannya itu,” katanya.

Hussein berkata, siasatan awal turut mendapati pemilik rangkaian klinik swasta itu telah menaiki kenderaan sendiri bertemu dengan suspek di sebuah restoran di Semenyih kira-kira pukul 11 pagi pada 26 April lalu.

"Bagaimanapun mangsa telah diperdaya dan menaiki kereta suspek ke sebuah lokasi atas alasan perniagaan," katanya.

Menurutnya, mangsa ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon bimbitnya kepada rakan serumahnya dan meminta dimasukkan wang syarikat berjumlah RM228,000 ke dalam akaun tidak dikenali.

"Turut menerima SMS sama adalah akauntan syarikat mangsa yang juga diarah membuat pemindahan wang namun tidak dilakukan kerana curiga terhadap SMS itu sebelum telefon bimbit mangsa gagal dihubungi,” katanya.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga daripada suspek terlibat secara langsung dalam kes tersebut.

“Kita percaya suspek memang berniat membunuh disebabkan persiapan telah dibuat suspek termasuk tali wayar. Suspek juga telah berjaya mendapatkan RM20,000 daripada mangsa tersebut," katanya.

Hussein berkata, hasil pemeriksaan bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan jerutan pada leher yang menyebabkan saluran pernafasan tersekat.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa dan suspek utama yang merupakan kontraktor telah berkenalan sejak setahun lalu selepas membaik pulih klinik dan rumah mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa adalah seorang yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) berkaitan perkhidmatan kesihatan dengan memiliki aplikasi pengurusan kesihatan.

"Kes yang pada awalnya disiasat mengikut 385 Kanun Keseksaan kini berubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya. -Sinar Harian