Skip to main content

Malaysia

Enam ikhtiar Kerajaan MADANI ambil kira denyut nadi rakyat - Nga

41763845543_NgaKorMing.jpg
Nga berkata semangat perpaduan dan keterangkuman perlu terus dipertahankan bagi memastikan Malaysia melangkah ke arah masa depan yang lebih makmur, adil dan berdaya saing. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Enam ikhtiar utama yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Hari Kebangsaan 2026 semalam mengambil kira maklum balas rakyat serta keperluan kehidupan seharian, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata enam ikhtiar itu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, meliputi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, kemudahan kesihatan, latihan kecerdasan buatan (AI), e-Invois serta bantuan kepada peniaga kecil dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Enam ikhtiar yang diumumkan Perdana Menteri merupakan bukti nyata bahawa Kerajaan MADANI mendengar denyut nadi rakyat dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan mereka.

“Pencapaian Malaysia sepanjang 69 tahun kemerdekaan tidak mungkin dicapai tanpa sumbangan dan usaha bersama seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata semangat perpaduan dan keterangkuman perlu terus dipertahankan bagi memastikan Malaysia melangkah ke arah masa depan yang lebih makmur, adil dan berdaya saing.

“Malaysia dibina oleh orang Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang yang berganding bahu membangunkan negara,” katanya.

Pada Majlis Amanat Hari Kebangsaan 2026, Anwar mengumumkan enam ikhtiar tambahan untuk rakyat, antaranya mengembalikan kelayakan BUDI MADANI kepada 300 liter bagi BUDI95 dan 400 liter bagi BUDI Diesel.

Beliau turut mengumumkan tambahan RM500 juta, menjadikan peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi 2027 sebanyak RM1.5 bilion, selain memperkenalkan program langganan kecerdasan buatan (AI) percuma selama tiga bulan dengan sasaran awal 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan, melibatkan 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan.

Selain itu, ambang pengecualian e-Invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

Kerajaan turut menyediakan RM200 juta menerusi Geran Sejahtera MADANI serta tambahan RM1 bilion kepada pembiayaan perniagaan mikro 2026, menjadikan jumlah keseluruhannya RM6 bilion.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement