KUALA LUMPUR: Enam kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 1 tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata kawasan IPD Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 193 diikuti Kuching (190), Sri Aman (178), Samarahan (173), Sarikei (153) dan Sibu (108).
“Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan kawasan di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada 19 Ogos lepas, sebanyak 489 titik panas dikesan di Kalimantan, 19 di Sumatera dan 11 di Malaysia, iaitu dua di Sabah dan sembilan di Sarawak.
Azuri Azizah berkata Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC hari ini menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan rantau selatan ASEAN, kecuali di bahagian utara Sumatera yang mengalami sedikit hujan.
“Titik panas bertaburan dikesan di Kalimantan manakala beberapa titik panas secara terpencil dikesan di kawasan lain di rantau selatan ASEAN.
“Kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS (1-800-88-2727).
-- BERNAMA