Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Enam runtuhan baharu dikesan, Jalan Tun Sardon belum boleh dibuka

Ernalisa Othman 25/10/2025 | 07:37 MYT
Kejadian runtuhan cerun kritikal berlaku di Kilometer 5.10 Jalan Tun Sardon akibat hujan lebat Khamis lalu. - Gambar/ Bomba Sukarela Kuala Sungai Balik Pulau
GEORGE TOWN: Jalan Tun Sardon di Balik Pulau, yang terjejas akibat cerun runtuh, dan dijadualkan dibuka hari ini, akan terus ditutup kepada semua kenderaan selepas enam lagi kejadian baharu dilaporkan awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Jalan Tun Sardon di Balik Pulau yang dijadual dibuka semula hari ini kekal ditutup kepada semua kenderaan selepas enam lagi kejadian runtuhan cerun dilaporkan awal pagi tadi. Penutupan dibuat atas faktor keselamatan pengguna jalan raya.
  • Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari memaklumkan kerja pembersihan yang dimulakan semalam terpaksa dihentikan susulan hujan lebat berterusan. Pasukan teknikal JKR digerakkan ke lokasi untuk penilaian lanjut.
  • Kejadian runtuhan cerun kritikal berlaku di KM5.10 Jalan Tun Sardon sejak Khamis lalu akibat hujan lebat dan angin kencang. Orang ramai dinasihat guna laluan alternatif. Seramai 1,029 mangsa banjir daripada 280 keluarga kini ditempatkan di tujuh PPS di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) telah digerakkan ke lokasi terjejas bagi menjalankan penilaian lanjut.

Beliau memaklumkan, kerja-kerja pembersihan yang dimulakan semalam terpaksa dihentikan sementara susulan hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan.

“Laluan yang pada asalnya dijadualkan dibuka semula pada pukul 6 petang hari ini kini akan kekal ditutup sehingga dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Zairil, penutupan itu dibuat atas faktor keselamatan pengguna jalan raya.

Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif sehingga jalan berkenaan disahkan selamat untuk dibuka semula.

Terdahulu, kawasan tanah runtuh di sepanjang Jalan Tun Sardon dilaporkan masih tidak stabil dengan pergerakan tanah yang berterusan.

Kejadian runtuhan cerun kritikal itu berlaku di Kilometer 5.10 Jalan Tun Sardon kira-kira pukul 4.50 petang Khamis lalu dipercayai akibat hujan lebat serta angin kencang.

Sementara itu, setakat tengah hari ini, seramai 1,029 mangsa banjir daripada 280 keluarga di negeri ini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara.

#Jalan Tun Sardon ditutup #tanah runtuh #cerun runtuh #pulau pinang