NATIONAL
Enam struktur haram Rumah Ibadat Bukan Islam di Pulau Pinang kena tindakan

Lim Siew Khim berkata, ia kebanyakannya melibatkan 'shrine' kecil dan struktur kecil lain yang dibina di atas tanah rizab kerajaan.
GEORGE TOWN: Sebanyak enam struktur Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran di Pulau Pinang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ringkasan AI
- Enam struktur Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran di Pulau Pinang telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan, kebanyakannya melibatkan binaan kecil di atas tanah rizab kerajaan.
- Dari 2023 hingga Mei 2025, jumlah tapak RIBI tanpa kebenaran menurun hasil pemantauan berkala MBPP dari 149 ke 115, dan MBSP dari 43 ke 21.
- Kerajaan negeri akan mempergiat sesi libat urus dan mewajibkan permohonan rasmi serta pendaftaran RIBI, termasuk mematuhi pelan guna tanah dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL).
“Enam struktur terlibat terdiri daripada satu di Seberang Perai Utara, dua di Seberang Perai Tengah, dua di Seberang Perai Selatan dan satu lagi di Daerah Timur Laut.
"Ini menunjukkan bahawa tindakan penguatkuasaan telah diambil secara menyeluruh dan berasaskan pemantauan serta pemutihan data yang berterusan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) berkata demikian ketika menjawab soalan Amir Hamzah Abdul Hashim (Pas-Permatang Pasir) mengenai jumlah RIBI yang dibina tanpa kebenaran di Pulau Pinang daripada tahun 2023 hingga 2025.
Tambah Siew Khim, daripada tahun 2023 hingga 2024, sebanyak 43 tapak RIBI tanpa kebenaran dikenal pasti di kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), manakala Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merekodkan sebanyak 149 tapak.
"Bagaimanapun, hasil pemantauan dan pengemaskinian data secara berkala telah menunjukkan penurunan ketara.
"Sehingga Mei 2025, jumlah tapak tanpa kebenaran yang direkodkan di MBPP menurun kepada 115, manakala MBSP mencatatkan hanya 21 tapak," jelasnya.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan negeri selepas ini adalah mempergiat sesi libat urus bersama persatuan RIBI bagi memberi kesedaran tentang pentingnya mengemukakan permohonan rasmi sebelum mendirikan sebarang struktur binaan.
“Kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menggalakkan setiap RIBI mendaftar maklumat terperinci, agar kita mempunyai rekod rasmi kewujudan rumah ibadat ini,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, satu dasar jelas akan dirangka bagi memastikan setiap pembinaan atau pengubahsuaian struktur RIBI perlu memohon Kebenaran Merancang dan mendapatkan pengesahan pelan bangunan menerusi 'One-Stop Centre' (OSC) negeri.
“Ia penting bagi memastikan reka bentuk, struktur dan lokasi bangunan mematuhi Undang‑Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) serta pelan guna tanah yang telah diluluskan.
"Langkah itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu RIBI tanpa kebenaran secara adil dan menyeluruh, tanpa menjejaskan sensitiviti agama dan keharmonian kaum di negeri ini," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami