KUALA LUMPUR: Enam pemimpin wanita menerima Anugerah Pemimpin Wanita Tan Sri Datuk Napsiah Omar yang pertama daripada Institut Pengurusan Wanita (WIM) malam tadi kerana berjaya mengatasi fenomena siling kaca dan mendapat pengiktirafan dalam pelbagai bidang kerjaya dan kepakaran.

Mereka terdiri daripada Dr Jasmine Begum yang menerima anugerah kategori pengurusan korporat, Prof Datuk Dr Adeeba Kamaruzaman (pendidikan), Rina Neoh (keusahawanan dan perniagaan), Datuk Dr Narimah Khan (perkhidmatan awam), Datuk Dr Hartini Zainudin (perkhidmatan sosial dan masyarakat) dan Prof Dr Leong Wai Yie (teknologi).

Anugerah disampaikan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Gala acara itu, di sini sebagai Tetamu Kehormat Diraja.

Pengerusi Penganjur, Puan Sri Siew Yong Gnanalingam berkata penerima anugerah akan membantu menyalakan semangat dan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita bagi meningkatkan pencapaian masing-masing dan memecahkan siling kaca untuk menjadi pemimpin wanita.

"Mereka juga akan bertindak selaku mentor dan menjadi contoh untuk menjadikan wanita memberikan yang terbaik untuk menyumbang balik kepada masyarakat," kata beliau dalam ucapannya di sini malam tadi.

Anugerah itu dinamakan sebagai memperingati Allahyarham Tan Sri Napsiah Omar bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial dan pengasas WIM bagi mengiktiraf pemimpin wanita hebat yang berkhidmat dalam pelbagai sektor di negara ini.

--BERNAMA