BATU PAHAT: "Alhamdulillah tulang adik dapat dikembalikan dengan anggota yang lain," ujar Norhisham Samsusah, 36, yang merupakan kakak kepada Mila Sharmila atau Bella.

Norhisham atau lebih mesra dipanggil Ayu berkata, segala urusan tuntutan enam ketul tulang berkenaan di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan urusan membawa pulang ke Batu Pahat dipermudahkan.

Menurutnya, enam ketul tulang tersebut selamat dikebumikan di pusara Bella di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, dekat sini, pada jam 1 tengah hari pada Sabtu.

"Saya dimaklumkan pegawai penyiasat untuk tuntut tulang di HSI pada petang Jumaat. Saya sangat bersyukur kerana akhirnya urusan pengebumian tulang itu dapat dilakukan.

"Anak arwah Bella, Eusof Abdul Fatah, 5, dan ibu Noraini Salleh, 55, turut berada di tanah perkuburan. Ayah tiri, Mohd Nor Omar, 56, yang meletakkan tulang di pusara," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada 6 Mac lalu, enam ketul tulang ditemui berdekatan rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, ketika kerja pembersihan tapak sekitar kawasan itu.

Hasil pemeriksaan polis telah menjumpai dua ketul tulang dipercayai tulang bahagian peha, dua ketul tulang bahagian betis dan dua ketul tulang bahagian keting di lokasi tersebut.

Sementara itu, Ayu berharap usaha dapat dilakukan bagi mencari tulang belakang dan tangan adiknya yang masih belum ditemui.

"Cuma tulang belakang dan tangan belum ditemui. Saya harap usaha untuk mencari baki tulang Bella atau Mila Sharmila akan dijalankan secepat mungkin," katanya.

Pada 26 Januari lalu iaitu dua hari selepas pengebumian Bella, Ayu membuat pendedahan mengejut apabila memaklumkan beberapa anggota adiknya 'hilang'.

Kejadian itu disedari ketika dia bersama ibunya, Noraini memandikan jenazah Bella di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebaik disahkan rangka itu milik Bella. -Sinar Harian