[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Energy Asia 2025: Peralihan tenaga global, sejajar ekonomi mapan

Malekah Aisyah 19/06/2025 | 06:00 MYT
Tan Sri Tengku Muhammad Taufik (kiri) bercakap ketika sidang media sempena Energy Asia 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto PETRONAS
KUALA LUMPUR: Cabaran iklim dan krisis geopolitik masa kini harus diambil serius semua pihak berkepentingan demi mencapai matlamat iklim dunia, sifar gas rumah hijau atau ‘net zero’.

Ringkasan AI
  • Presiden dan CEO PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, menekankan kepentingan menangani cabaran iklim dan krisis geopolitik secara serius demi mencapai matlamat sifar gas rumah hijau, sambil mengekalkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
  • Beliau menyatakan bahawa permintaan tenaga elektrik dijangka meningkat 6.5 peratus, dipacu oleh pengindustrian, pengkarbonan dan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan, serta menegaskan bahawa pembangunan tenaga harus dilakukan secara bersih dan inklusif.
  • Naib Pengerusi S&P Global, Dr Daniel Yergin, turut menekankan keutamaan dalam pembangunan tenaga dan cabaran karbon yang rumit, sambil menyatakan bahawa ketahanan sistem tenaga perlu diperkukuh untuk menghadapi permintaan yang semakin meningkat.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS dan Pengerusi Energy Asia, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, persidangan Energy Asia kali ini diadakan ketika negara mengalami transformasi ekonomi kukuh yang memerlukan keseimbangan antara pertumbuhan dan kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata demikian pada sidang media Energy Asia Edisi Kedua di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di sini, pada Selasa.
"Peralihan permintaan dalam tenaga elektrik dijangka meningkat sebanyak 6.5 peratus, yang jelas didorong bukan sahaja oleh pengindustrian dan pengkarbonan, tetapi juga oleh gelombang seterusnya dalam evolusi industri yang akan diasaskan dengan Artificial Intelligence (AI).
“Saya juga berharap perbualan tentang permintaan tenaga akan berterusan, kerana kami benar-benar melihat bahawa Energy Asia adalah platform yang berguna bagi merealisasikan matlamat tenaga kelestarian," jelasnya.
Katanya, misi utama PETRONAS adalah untuk merangka asas sejajar dengan tahap ekonomi Malaysia yang pesat membangun demi meningkatkan kedudukan negara dalam daya saing dunia 2025.
“Di PETRONAS, kami sentiasa positif dalam visi kami, bahawa kami perlu memastikan tiada pihak terjejas walaupun kami membina masa depan yang mampan.
“Oleh itu, kami tidak percaya bahawa pengeluaran tenaga yang dilakukan oleh sesetengah pihak perlu bersifat merosakkan atau tidak bersih demi memenuhi permintaan ini.
“Dalam konteks pencarian ekonomi dan dengan langkah yang betul, saya percaya setiap negara di Asia, terutamanya dengan julat Gross Domestic Product (GDP) yang luas dari kurang daripada 2,000 hingga 93,000 per kapita, mempunyai akses untuk mengejar pembangunan ekonomi masing-masing,” tambahnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi S&P Global dan Pengasas CERAWeek, Dr Daniel Yergin berkata, sekiranya kestabilan krisis mampu dicapai, ketahanan dalam sistem tenaga juga harus dititikberatkan bagi menangani permintaan minyak dan tenaga yang bakal meningkat.
“Keutamaan pihak yang bertanggungjawab adalah elemen kritikal dalam pembangunan tenaga dan sudah tentu bagi bekalan tenaga.
“Tetapi tindakan keutamaan dunia adalah cabaran asas untuk pembangunan tenaga.
“Saya akan katakan bahawa keutamaan karbon yang mengambil terlalu lama dan terlalu rumit adalah cabaran bagi banyak pembangunan tenaga di seluruh dunia."
Energy Asia Edisi Kedua dianjurkan PETRONAS dan rakan kongsi pengetahuan, CERAWeek oleh S&P Global, dengan tema 'Demi Peralihan Tenaga Asia' menghimpunkan 38 industri dari lebih 60 negara.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program, layari laman web www.officialenergyasia.com/awards .
#Petronas #Energy Asia 2025 #perubahan iklim #ekonomi #net zero #Rumah Hijau