[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Energy Asia 2025: Teraju peralihan tenaga global, capai sifar gas rumah hijau

Asyraf Malik 16/06/2025 | 05:10 MYT
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menyampaikan ucapan pada Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Asia perlu memainkan peranan meneraju peralihan tenaga global, demi mencapai matlamat iklim dunia iaitu sifar gas rumah hijau atau ‘net zero’.


Ringkasan AI
  • Asia perlu menerajui peralihan tenaga global demi mencapai sasaran iklim sifar karbon, memandangkan rantau ini menampung 60% populasi dunia dan jangkaan lonjakan permintaan tenaga menjelang 2050.
  • Petronas mencadangkan pelbagaian sumber tenaga termasuk LNG, hidrogen, solar, angin dan teknologi CCS, sambil mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
  • Cabaran utama termasuk krisis geopolitik, jurang akses tenaga dan pelaburan besar infrastruktur.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, cabaran iklim dan krisis geopolitik kini menuntut tindakan segera daripada semua pihak berkepentingan.

“Asia adalah rantau terbesar mewakili 60 peratus populasi dunia, menjelang tahun 2050 dijangka permintaan tenaga Asia melonjak 50 peratus.

“Untuk mencapai ‘net zero’ sedunia, ia harus dimulakan dengan rantau Asia terlebih dahulu.

“Ini ditambah pula pembangunan pusat data dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang pesat di Asia, sungguh banyak tenaga elektrik diperlukan,” jelas Tengku Muhammad Taufik.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapan pembukaan Persidangan Energy Asia edisi kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Tambah Tengku Muhammad Taufik, mempelbagaikan campuran tenaga adalah mustahak, 80 peratus keperluan tenaga Asia masih dipenuhi oleh bahan api fosil.

“Terapkan penggunaan bahan api rendah karbon seperti gas asli cecair (LNG), hidrogen, tenaga solar dan angin serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

“Di Asia ini terdapat banyak alternatif tenaga bersih boleh diteroka seperti musim monsun membawa angin kencang dan musim panas memancarkan sinar matahari terik.

“Hanya dengan kerjasama semua negara Asia dan rakan global perkara ini dapat dicapai, namun ia mungkin sukar susulan konflik di Selat Hormuz dan perang tarif global ketika ini,” ujar Tengku Muhammad Taufik.

Selain itu, Tengku Muhammad Taufik turut mengulas isu ketidaksamarataan dan kekurangan akses kepada tenaga asas untuk penduduk Asia.

“Lebih 150 juta warga Asia Pasifik masih tidak mempunyai akses kepada elektrik.

“Usaha membangunkan infrastruktur tenaga memerlukan sekitar 90 trilion dolar Amerika Syarikat bagi memenuhi keperluan tenaga Asia menjelang 2050.

“Kita harus perbanyakkan penghasilan tenaga dan pada waktu sama kurangkan pelepasan gas rumah hijau, keperluan tenaga meningkat dengan pertambahan populasi,” terangnya.

Persidangan Energy Asia edisi kedua ini menghimpunkan sekitar 3,000 delegasi dari lebih 60 negara, merangkumi pelbagai sektor termasuk minyak dan gas, tenaga boleh baharu, teknologi, logistik, dan perkhidmatan profesional.







#Persidangan Energy Asia 2025 #Petronas #Tengku Muhammad Taufik #peralihan tenaga global