AYER KEROH: Empat ahli sindiket ‘scammer’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyeksa seorang remaja lelaki kerana enggan menjadi ahli sindiket sehingga mendatangkan kecederaan, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Soh Sun Hung, 20; Yap Kah Seng, 22; dan dua lagi remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama sebagai majikan kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah menganiaya mangsa dengan cara mencederakan menggunakan tangan, kaki, tali dan sebatang besi.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 8 malam sehingga 1 pagi di sebuah rumah di Jalan Klebang Jaya, Taman Klebang Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan rompak dan sengaja menyebabkan cedera kepada mangsa sama pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal, manakala peguam Joel Chua mewakili  keempat-empat tertuduh.
 
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan tarikh 14 Julai sebagai sebutan semula kes.
 
Dalam pada itu, kesemua tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.

Mereka didakwa memiliki bahan-bahan lucah dalam telefon bimbit di Taman Jati Hang Tuah Jaya, pada 31 Mei lalu.
 
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan RM10,000 untuk setiap tertuduh, manakala kesemua tertuduh diwakili Joel.
 
Nurul Asyikin kemudiannya menetapkan jaminan RM3,500 dan bersetuju menetapkan tarikh sebutan sama iaitu 14 Julai depan.