Tabung Haji menafikan dakwaan dan spekulasi yang mengatakan pintu kaca sebuah cawangannya di Kangar, Perlis telah dipecahkan.

Sebaliknya, kejadian itu berlaku akibat engsel di pintu berkenaan tercabut, mengakibatkan pintu kaca tersebut pecah, menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Tabung Haji.

Kejadian berlaku jam 4.30 petang semalam ketika waktu operasi kaunter di cawangan berkenaan tamat dan pegawainya bersiap untuk pulang.

Pintu kaca yang pecah itu telah pun digantikan dengan yang baharu.

Semalam, gambar pintu kaca sebuah cawangan Tabung Haji pecah tersebar di laman sosial, mengundang spekulasi ramai bahawa ia mungkin perbuatan khianat akibat rasa tidak puas hati sesetengah pihak dengan isu yang membabitkan Tabung Haji sejak kebelakangan ini.