KUALA LUMPUR: Entiti perniagaan perlu tangkas dan fleksibel ketika ini terutamanya apabila urusan bersemuka bukan lagi menjadi pilihan utama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan usaha ini tidak mungkin akan berjaya tanpa penggunaan teknologi.

Ismail Sabri menjelaskan menerusi strategi pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk tempoh lima tahun akan datang, tumpuan terutamanya sektor teknologi dan inovasi akan terus diberi keutamaan.

"Ekonomi digital dijangka menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

"Penggunaan teknologi yang cekap dan berkesan boleh memacu pertumbuhan ekonomi kita dengan memanfaatkan projek Perkongsian Awam-Swasta, yang seterusnya boleh mengurangkan perbelanjaan Kerajaan, meningkatkan penyampaian kemudahan dan perkhidmatan, serta menggalakkan inovasi dan skala ekonomi," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Huawei Customer Solution Innovation Center (CSIC) di sini hari ini.

Ismail Sabri turut menjelaskan usaha memperkukuhkan perkongsian ini dan menjalin kerjasama baharu dengan sektor swasta akan memastikan kedudukan Malaysia sebagai destinasi serantau utama bagi pelabur dan mencetuskan pertumbuhan pesat ekonomi digital

Beliau juga menjelaskan pandemik COVID-19 telah mempercepatkan inisiatif pendigitalan untuk meringankan proses perniagaan dalam tempoh yang sukar ini tanpa mengganggu kecekapan dan produktiviti.