PUTRAJAYA: Seramai 20 petugas berpengalaman Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dihantar ke Arab Saudi bagi menyokong operasi perkhidmatan tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro atau lebih dikenali Makkah Metro pada musim haji tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor berkata tahun ini merupakan tahun ke-11 penglibatan ERL menghantar petugas ke Makkah semenjak pembukaan semula musim haji selepas wabak COVID-19.

Beliau berkata ERL amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan sekali lagi oleh China Railway Construction Corp Limited (CRCC) untuk menghantar petugas sokongan ke Makkah.

"Pada kali ini kesemua pekerja yang dipilih terdiri dalam kalangan mereka yang mempunyai pengalaman terlibat dalam operasi Makkah Metro sebelum ini.

"Kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh pekerja yang ditugaskan ke Makkah pasti berupaya memudahkan urusan mengendalikan perkhidmatan tren dan pergerakan jemaah haji yang ramai nanti," katanya dalam majlis penghantaran kakitangan ERL ke Makkah, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Sementara itu, Khairul berkata penghantaran rakyat Malaysia ke Makkah akan memberi peluang untuk kementerian menggiatkan lagi rancangan mempromosikan Malaysia sebagai 'Hab Umrah" selain berupaya meningkatkan reputasi Malaysia sebagai negara mempunyai tenaga mahir yang cekap dan diiktiraf dalam infrastruktur pengangkutan awam terutama perkhidmatan kereta api.

Beliau kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kumpulan Putera Wan Jaffri Abdul Hamid yang sekali lagi menggalas tanggungjawab berat sebagai Timbalan Pengurus Operasi iaitu jawatan kedua paling kanan dalam keseluruhan operasi perkhidmatan Makkah Metro.

Ketika ditemui, Wan Jaffri berkata kali ini merupakan tahun kesembilan beliau diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab besar itu.

"Sejak tahun 2013 saya terpilih mengetuai pasukan menyokong operasi tren di Makkah merupakan tugasan berat kerana bukan sahaja membawa imej syarikat tetapi nama negara. Cabaran utama bertugas di Makkah bukan sahaja cuaca panas tapi perlu mengawasi 7,000 kakitangan dari pelbagai negara, adat resam, bahasa dan karakter," katanya.

Pasukan ERL itu dijangka berlepas pada 27 April ini.

Laluan Makkah Metro melibatkan landasan sepanjang 18 kilometer dan menyambungkan tiga penempatan penting di tanah suci iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Program pinjaman kakitangan sokongan itu hasil usahasama ERL dengan CRCC Saudi yang telah dilantik oleh kerajaan Arab Saudi sebagai operator perkhidmatan Makkah Metro.

Makkah Metro telah diiktiraf sebagai tren metro berkepadatan penumpang paling tinggi di dunia. Setiap tren mempunyai 12 gerabak dan mampu mengangkut sehingga 3,000 penumpang setiap perjalanan atau lebih 72,000 penumpang setiap arah setiap jam.

-- BERNAMA