KUALA LUMPUR: Erti kemerdekaan perlu diterjemahkan dalam kehidupan rakyat dengan memastikan mereka memperoleh kemahiran, peluang pekerjaan lebih baik serta tidak tercicir daripada arus pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perjuangan hari ini bukan lagi untuk mendapatkan kemerdekaan, tetapi memastikan makna kemerdekaan benar-benar hidup dalam kehidupan rakyat.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, bagi saya merdeka hari ini bererti kita menyediakan anak-anak muda dengan kemahiran, terutamanya kemahiran TVET supaya mereka mampu merebut pekerjaan yang bergaji premium pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan menerusi video yang dimuat naik di Facebook bersempena dengan Hari Kebangsaan 2026 hari ini.
Beliau berkata kemerdekaan perlu memberikan ruang kepada usahawan kecil untuk berkembang, manakala setiap keluarga berpeluang mengubah kehidupan mereka.
Timbalan Perdana Menteri berkata negara juga perlu hadir untuk melindungi rakyat ketika bencana serta membantu mereka bangkit dan membina semula kehidupan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata amanah yang dipikul di bawah kementeriannya adalah memastikan kemajuan negara tidak terhenti di sempadan kota, sebaliknya sampai ke setiap desa, kampung dan pedalaman.
“Kerana akhirnya sebuah negara bukan menjadi besar hanya kerana apa yang dibangunkan, tetapi kerana siapa yang dibawa bersama dalam pembangunan,” katanya.
Mengimbau perjalanan negara sejak merdeka, beliau berkata sebatang jalan mampu mengubah sebuah kampung, bekalan elektrik membawa harapan kepada rumah sederhana dan bilik darjah kecil dapat melahirkan cita-cita besar.
Beliau berkata kemerdekaan bukan sekadar tarikh dalam kalendar sejarah, tetapi perjalanan panjang sebuah bangsa membina keyakinan, menentukan masa depan dan mengangkat martabat rakyat.
Ahmad Zahid berkata kemerdekaan juga bermaksud membangunkan industri halal yang bukan sahaja menjadi kebanggaan Malaysia, malah membuka pasaran dan sumber rezeki kepada rakyat pada pentas dunia.
“Malaysia ini rumah kita. Rumah yang diwariskan kepada kita dengan keamanan dan menjadi amanah kita untuk menyerahkan kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang lebih makmur, lebih adil dan lebih saksama,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru rakyat membebaskan diri daripada perpecahan, perasaan kebencian, prasangka dan ekstremisme yang boleh meruntuhkan keharmonian negara.
Menerusi hantaran dalam platform sama, beliau berkata kemerdekaan bukan hanya bermaksud bebas daripada penjajahan, tetapi menuntut rakyat memastikan semangatnya terus hidup dalam diri dan kehidupan mereka.
“Kita mungkin berbeza agama, budaya, bahasa, adat dan latar kehidupan. Namun, kita berkongsi satu tanah air, satu masa depan dan satu harapan - Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera untuk semua,” katanya bersempena dengan Hari Kebangsaan hari ini.
Fadillah berkata dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi, persaingan global, cabaran sosial serta arus maklumat yang pantas, rakyat tidak boleh kehilangan jati diri, nilai dan semangat kebersamaan sebagai bangsa Malaysia.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak rakyat terus memelihara perpaduan, menghormati kepelbagaian, menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta menghayati Rukun Negara.
Beliau berkata semangat Malaysia MADANI menuntut sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan, malah memastikan kesejahteraan dinikmati seluruh lapisan rakyat.
“Kemerdekaan bukan hanya tentang apa yang telah kita warisi, tetapi juga tentang apa yang akan kita wariskan.
“Kita mahu mewariskan kepada generasi akan datang sebuah Malaysia yang adil, makmur, aman, bersatu dan sejahtera,” katanya.
Fadillah turut menyeru rakyat memaknakan kemerdekaan melalui tindakan dengan menjaga perpaduan, menghormati perbezaan, memelihara keharmonian, menolak kebencian dan melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara dengan penuh amanah.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”.
-- BERNAMA