KUANTAN: Konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merupakan aspek penting yang perlu diperkasa serta boleh dijadikan penanda aras dan diaplikasikan dalam tadbir urus organisasi, negeri mahupun negara.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah inisiatif untuk melindungi alam sekitar harus diberikan perhatian serius supaya bumi tidak dimanipulasi oleh 'tangan-tangan manusia yang rakus mencari keuntungan dengan memusnahkan sumber alam'.

"Kita dapat melihat dunia kini semakin mencabar dan berevolusi menuju kepada satu keadaan yang sangat sukar dijangka. Ini ditakrifkan sebagai 'brittle, anxious, non-linear dan incomprehensible' atau rapuh, penuh kebimbangan, tidak linear dan semakin sukar difahami.

"Kita boleh mengambil contoh daripada isu bencana alam... sebelum ini kita jarang mendengar berkenaan 'debris flood' (banjir puing) yang melanda teruk negara kita, namun beberapa bulan lalu, kawasan tanah tinggi telah diancam banjir seumpama ini dan kawasan yang tidak pernah banjir turut dinaiki air," titah Seri Paduka.

Tunku Azizah bertitah demikian semasa menyempurnakan Istiadat Konvokesyen 2022 Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Sambutan 30 Tahun Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP)/Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan UCYP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut berangkat, Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Pro-Canselor UCYP.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pro-Canselor UCYP yang turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Politik dan Kerajaan, selain Naib Canselor UCYP Prof Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin dan Pengerusi Lembaga Pengelolanya Tan Sri Prof Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Selain itu, Seri Paduka yang juga Tuanku Canselor UCYP menzahirkan harapan rakyat Pahang untuk menyokong kempen 'Go Green' oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang bertujuan menjaga dan memulihara alam sekitar.

Tunku Azizah bertitah aspek sosial juga penting bagi melahirkan masyarakat yang sihat mental dan fizikal, dengan memberikan keseimbangan antara kerja dan keluarga selain mempunyai kekuatan rohani mengikut kepercayaan agama masing-masing.

"Aspek tadbir urus juga tidak kurang pentingnya terutamanya apabila melibatkan ekonomi negara. Perbelanjaan kewangan yang telus sangat perlu bagi mengelak ketirisan yang merugikan rakyat. Sekiranya kewangan negara dikendalikan dengan baik, rakyat akan menerima manfaatnya sekali gus mengurangkan isu seperti kemiskinan dan pengangguran," titah Tunku Azizah.

Selain itu, Tunku Azizah menasihatkan graduan meneruskan usaha menuntut ilmu dan mengamalkannya dengan etika terbaik supaya rakyat Malaysia dapat berkembang maju dengan penuh nilai dan moral yang tinggi sehingga disegani masyarakat luar.

Seri Paduka juga menzahirkan tahniah kepada pentadbiran UCYP yang mendapat kelulusan penubuhan sebagai universiti penuh pada 6 Ogos lepas, selain berharap institusi pendidikan yang ditubuhkan pada 1992 itu terus berkembang maju dalam mendidik lebih ramai generasi hadapan Malaysia.

Konvokesyen pertama secara bersemuka selepas pandemik COVID-19 yang berlangsung hari ini dan esok, menyaksikan 1,775 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana masing-masing.

-- BERNAMA