NATIONAL
ESKU 2025 lebih inklusif, tekan nilai kebolehpasaran siswazah graduan UiTM
Shahrin berkata, sebanyak 402,918 pelajar yang menerima keputusan SPM pada 24 April lepas dijangka hadir ke ESKU 2025 bagi mendapatkan panduan dalam membuat pilihan untuk ke peringkat pengajian tinggi. - Gambar fail/DagangNews
SHAH ALAM: Penganjuran Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) 2025 kali ini bersifat inklusif dan menekankan nilai tambah kebolehpasaran siswazah selepas mereka menamatkan pengajian kelak.
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, penganjuran acara tahunan itu turut memfokuskan kepada pendekatan mesra pelajar dengan membawa tema dan slogan "Jadikan UiTM Pilihan No. 1" yang disokong oleh penggunaan logo khas bagi memperkukuh penjenamaan universiti.
"Kita mahu memastikan UiTM terus menjadi pilihan utama bukan hanya dari aspek akademik, tetapi juga nilai tambah yang ditawarkan termasuk kemudahan pembiayaan dan jaringan industri," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Shahrin berkata, langkah berkenaan seiring dengan usaha yang ditampilkan UiTM berdasarkan statistik semasa yang menunjukkan kadar kebolehpasaran siswazah pada 2024 telah meningkat kepada 92.6 peratus.
"Ia sekali gus menjadikan UiTM antara universiti paling diyakini oleh majikan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah antara universiti awam yang berada di puncak senarai pilihan majikan.
Universiti awam berkenaan berada dalam Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025 yang dikeluarkan Talentbank, peneraju utama dalam bidang kebolehpasaran siswazah negara.
Dalam pada itu, Shahrin berkata, sebanyak 402,918 pelajar yang menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 24 April lepas dijangka hadir ke ESKU 2025 bagi mendapatkan panduan dalam membuat pilihan untuk ke peringkat pengajian tinggi.
Di samping itu, katanya, ESKU 2025 bukan sahaja menyasarkan pelajar lepasan SPM dan matrikulasi, tetapi juga membuka ruang kepada ibu bapa dan golongan profesional yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah.
Sepanjang ESKU 2025, pelawat berpeluang mengunjungi ruang pameran interaktif serta berbincang secara terus bersama wakil akademik, mendapatkan khidmat nasihat, serta membuat semakan awal syarat kelayakan kemasukan melalui Sistem Semak Syarat di laman selangkah.uitm.edu.my.
-- BERNAMA