[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

'Esok hari penentu, mohon doa semua' - Syed Saddiq

Sinar Harian 16/04/2025 | 11:24 MYT
Menurut Syed Saddiq prosiding di Mahkamah Rayuan akan bersambung semula pada Khamis selepas sebulan tertangguh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon doa orang ramai agar urusannya dipermudahkan bagi kes rayuan terhadap sabitan dan hukuman empat tuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menurut bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu, prosiding di Mahkamah Rayuan akan bersambung semula pada Khamis selepas sebulan tertangguh.
"Saya tetap memilih untuk membersihkan nama di mahkamah, bukan dengan jalan pintas dan bukan dengan tawaran mudah.
"Prinsip bukan untuk dijual beli, kebenaran bukan untuk ditangguh-tangguhkan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Mahkamah Rayuan pada 20 Mac lalu menangguhkan ke 17 April ini bagi menyambung hujahan pendakwaan dalam rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagi mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana Armada yang dihadapinya.
Syed Saddiq, 32, merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana berkenaan.
Dalam pada itu beliau memaklumkan akan menyerahkan segalanya kepada Allah SWT dan keputusan mahkamah serta yakin kebenaran akan tetap menang.
Malah menurutnya, beliau tampil berani kerana benar.
"Esok adalah hari penentu mahkamah. Lima tahun saya tunggu, lima tahun saya sabar.
"Kini tiba masanya untuk kebenaran dibela dan saya mohon doa semua kerana tiada senjata yang lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT," ujarnya. - Sinar Harian
#Syed Saddiq #keputusan mahkamah #hukuman penjara #kes pengubahan wang haram