LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) hari ini mengeluarkan senarai terkini 20 individu warga Filipina yang dikehendaki kerana terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Ini termasuk penambahan lima lagi senarai baharu yang dikehendaki berikutan kejayaan entiti itu menumpaskan sel-sel Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) tahun lalu.

Menurut satu kenyataan media, Ahadin Hussein, Ellam Sajirin @ Nasirin, Ismurah Jirah, Madjid Said @ Ammah Pattit dan Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan adalah lima suspek terbaru yang disenaraikan.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, tiga daripada lima iaitu Ahadin, Ellam dan Ismurah disyaki berperanan sebagai 'keepers' dan terbabit dalam kes penculikan di perairan Tambisan.

Manakala katanya, Madjid merupakan ketua paling kanan Daulah Islamiah (DI) berpengkalan di Sulu dan berperanan sebagai komander ASG Sulu serta Sub Leader yang bakal menggantikan Hatib Hajan Sawadjaan.

"Suspek Mudzrimar iaitu anak saudara kepada Hatib Hajan Sawadjaan dan Sub Leader dalam ASG serta mempunyai kepakaran membuat bom.

"Malah individu ini perancang letupan bagi insiden di 'The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo' pada 27 Januari 2020 dan insiden lain di Jolo pada 24 Ogos 2020," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Manakala individu yang masih kekal dalam seranai dikehendaki iaitu Salip Mura; Al Munjir Yadah; Ben Tatoh Quirino; Basaron Arok; Mujimar Sawadjaan; Rasad; Marajan @ Manajan Asiri; Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw; Jul @ Jun Hasan; Barak Undog @ Alvin; Hamsan Pakkan @ Black Cobra; Sabri Madrasul @ Salip Jul; Hadji Wahad @ Talip; Tampi @ Bunju; Haibin Mubin @ Apo Kuhambo dan Sangbas Parisko.

Senarai yang dikehendaki ESSCOM.

Hamzah berkata, semua 20 individu termasuk lima individu baharu ini adalah warga asing yang mempunyai hubungan dengan ASG berada dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes-kes jenayah rentas sempadan (KFR) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Sementara itu, Hamzah berkata, seramai lima individu dikehendaki dalam senarai Jun 2021 iaitu Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Raden Abuh; Long Sahirin; Japs Sawadjaan @ Musafar Sawadjaan dan Halipa telah ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara berkenaan.

"Sehubungan itu kelima-lima individu terbabit telah dikeluarkan daripada senarai dikehendaki," katanya.

Menurutnya, ESSCOM akan memperhebatkan operasi-operasi khas untuk menjejak anasir-anasir terbabit dan melancar operasi bersepadu laut dan darat bagi membanteras elemen-elemen tidak diingin di ESSZONE dan juga penceroboh yang mengganggu gugat keamanan serta keselamatan di kawasan ini.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai senarai individu dikehendaki ini boleh menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau salurkan maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.