SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengenal pasti tali barut yang terlibat dengan penculikan di perairan pantai timur Sabah.

Kegiatan penculikan itu juga adalah bertujuan untuk mendapatkan wang tebusan daripada keluarga mangsa culik.

Sehubungan dengan itu, Ketua Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman memberi amaran supaya tali barut berkenaan menghentikan segera aktiviti tersebut kerana ESSCOM telah mengenalpasti mereka yang terlibat.

“Bukan sahaja Palau, orang tempatan juga terlibat. Saya menggesa supaya hentikan perbuatan itu kerana ketika ini kami telah mengenalpasti mereka dan tunggu masa sahaja untuk tindakan diambil,” katanya.

Ahmad berkata sejak tahun 2000, sebanyak 27 kes penculikan berlaku di perairan Sabah, di mana 80 peratus telah dapat dikesan termasuk suspek ditembak mati.

Melalui hubungan baik rakan setugas di Ffilipina, setiap kes penculikan dapat diselesaikan walaupun suspek berada di negara jiran.

“Contohnya kes penculikan pada 15 Januari 2020. Apabila dia melakukan penculikan, dia bawa mangsa keluar. Dalam masa empat jam, kita sudah maklum rakan sejawat di Filipina.

“Suspek kemudian ditembak di sebuah pulau dan tembusan telah dibebaskan. Hampir kesemua kes kita berjaya tumpaskan kumpulan ini sama ada di sebelah sini atau sebelah sana,” katanya dalam satu sidang media di markas operasi Pasukan Gerakan Marin Semporna.

Dalam pada itu Fuad juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk penambahan radar teknologi tinggi, aset bot, menaik taraf pos kawalan keselamatan serta penambahan batalion Pasukan Gerakan Am.

Pihaknya juga telah menerima senjata api bernilai RM7 juta baru-baru ini untuk mengukuhkan keselamatan di kawasan ESSZONE.

Untuk rekod, melalui Operasi Cegah PATI (OCP) laut dan darat ESSCOM telah melakukan pemeriksaan kepada 493,273 individu, 118 telah didakwa di mahakamah membabitkan 49 kes termasuk penyeludupan berjumlah RM5.7 juta.