ESSCOM rangka pelan tindakan pengukuhan tingkat keselamatan ESS Zone

Victor berkata pelan tindakan itu selari dengan aspirasi kerajaan dalam Belanjawan 2026 berkaitan keselamatan negara, serta memperkasakan kebajikan warga pasukan keselamatan. - Gambar fail/BERNAMA
LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sedang merangka pelan tindakan strategik pengukuhan bagi tempoh 2024 hingga 2028, untuk meningkatkan keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone), kata Komandernya Datuk Victor Sanjos.
Beliau berkata pelan tindakan itu selari dengan aspirasi kerajaan dalam Belanjawan 2026 berkaitan keselamatan negara, serta memperkasakan kebajikan warga pasukan keselamatan.
"Tumpuan utama pelan terbabit ialah memperkasakan keupayaan operasi dan teknologi, menerusi projek pembangunan keselamatan berimpak tinggi," katanya ketika berucap pada majlis perbarisan ESSCOM siri 2 di sini hari ini.
Viktor berkata selaras dengan itu, ESSCOM memohon peruntukan RM42.93 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membabitkan lapan projek, dengan harapan permohonan pelan boleh pinda pertama itu, diperakui untuk memulakan perolehan pada tahun hadapan."Projek itu termasuklah perolehan senjata bantuan, peralatan menyelam skuba taktikal, kenderaan pelbagai guna (ESSCOM Mobile) dan perolehan peralatan khas untuk pasukan khas ESSCOM," katanya.
Viktor berkata selain itu ia turut melibatkan perolehan 96 unit rumah untuk dijadikan kuarters ESSCOM, sebuah wisma, perolehan sistem dron taktikal dan sistem pesawat tanpa pemamdu (UAS).
Dalam pada itu beliau berkata pihaknya turut memfokuskan beberapa rancangan peningkatan elemen keselamatan yang berteraskan kecerdasan buatan (AI), bagi memperkukuh pemantauan sempadan dan operasi di lapangan.
"ESSCOM menyahut aspirasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu KDN for AI, AI for KDN, dengan menyasarkan projek seperti pemasangan kamera jarak jauh di Indrasabah (Tawau) dan Pulau Banggi (Kudat).
"Selain, menaik taraf ESSCOM Fusion Centre (EFC), serta perolehan tactical floating barge di Pulau Banggi dan Pulau Sebatik (Tawau), serta perolehan sistem fiber optic juga di Pulau Sebatik," katanya.
Sementara itu bagi tempoh Januari hingga September, Victor berkata 13 siri operasi dilaksanakan pada tahun ini dan daripada itu RM1.7 juta nilai rampasan direkodkan serta 140 individu ditahan.
"Antara tangkapan itu termasuk pada 10 Jun (Op Khas) di Kunak, telah merekodkan tangkapan dua orang suspek warganegara Filipina dipercayai anggota Abu Sayyaf Group (ASG) Sulu Base, di bawah Akta Imigresen," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami