Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengesahkan bahawa Polis Daerah Semporna menerima laporan dipercayai berhubung kes rompakan bersenjata di Pulau Bait, Semporna.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata polis sedang menyiasat perkara itu, manakala ESSCom pula melakukan operasi untuk mengesan penjenayah terbabit.

Beliau, bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada penjenayah tersebut bersenjata atau sebaliknya.

"Pada peringkat ini kita tidak boleh kaitkan insiden tersebut dengan penjenayah Sulu dari Filipina atau anggota Kidnap For Ransom (KFR) kerana orang tempatan juga ada yang menjadi perompak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Insiden rompakan tersebut dikatakan berlaku kira-kira 3 pagi Khamis (7 Mei), di kawasan kolam udang di Pulau Bait, membabitkan lima lelaki bersenjatakan senapang dan sepucuk pistol.

Ketika kejadian, terdapat dua pekerja, namun mereka tidak dicederakan sebelum perompak melarikan beberapa barangan antaranya telefon bimbit, komputer riba, enjin sangkut serta dompet pekerja berkenaan yang mengandungi kad pengenalan dan wang tunai.

Laporan polis dibuat oleh salah seorang pekerja tersebut di Balai Polis Semporna.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata pihaknya menerima pelbagai maklumat bahawa sekumpulan penjenayah bersenjata dilihat di sebuah ladang sawit di Kinabatangan.

Beliau berkata pihaknya telah melancarkan operasi di kawasan tersebut dengan menggunakan segala kekuatan yang ada, selepas menerima laporan daripada orang ramai.

"Selain itu, kita juga mahu membiasakan anggota kita dengan persekitaran hutan di kawasan berkenaan untuk membuat pembersihan terutama di kawasan yang tiada kem tentera dan balai polis.

"Setakat ini, kita tidak menemui apa-apa yang mencurigakan namun kawalan keselamatan sentiasa dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga supaya tidak berlaku insiden tidak diingini," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana keadaan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) adalah terkawal dan jika ada keraguan, mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCom di talian 089-863181 atau balai polis berhampiran.