Kesatuan Eropah (EU) sepatutnya mengendalikan isu berkaitan keadaan hak asasi manusia Malaysia melalui dialog, dan bukannya bertindak tergesa-gesa dengan mengeluarkan resolusi mengenai hal ehwal dalaman negara ini, kata Kementerian Luar.

Wisma Putra memberi reaksi itu selepas Parlimen Eropah menerima pakai resolusi bukan legislatif pada Khamis, yang antara lain, mengaitkannya dengan tindakan Malaysia menarik balik Rang Undang-undang Keselamatan Negara, memansuhkan Akta Hasutan dan menarik balik undang-undang berkaitan antiliwat.

Resolusi itu dikeluarkan atas anjuran Persekutuan Antarabanagsa bagi Hak Asasi Manusia dan anggota organisasinya iaitu Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

"Oleh itu, kami melihatnya sebagai sesuatu yang malang apabila Parlimen Eropah bertindak secara tergesa-gesa serta memilih kaedah monolog dengan mengeluarkan resolusi itu.

"Kerajaan Malaysia amat percaya bahawa penghormatan sepenuhnya patut diberi kepada mana-mana jua negara untuk membuat keputusan mengenai perkara berkaitan hal ehwal dalamannya," kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, semua negara termasuk Malaysia patut diberi ruang yang diperlukan untuk memastikan wujudnya keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berterusan di sesebuah negara itu, kata Wisma Putra.

Menurut kementerian itu, Malaysia komited untuk mendukung hak mengenai kebebasan bersuara dan memberi pendapat serta hak untuk mengadakan perhimpunan.

Perkara ini termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, kata Wisma Putra.

Dengan mengambil kira pengalaman bersejarah Malaysia sebagai sebuah masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya, Malaysia berpendirian bahawa tumpuan sama rata perlu diberi terhadap pelaksanaan hak kebebasan menyuarakan pendapat serta mengadakan perhimpunan, di samping tugas serta tanggungjawab yang mempunyai kaitan dengan hak itu.

"Bagaimanapun, kami akan berusaha untuk berbincang dengan EU menerusi peluang yang ada selepas ini," kata Wisma Putra.

Menurut Kementerian Luar ini bukan kali pertama perkara itu ditimbulkan EU kerana ia pernah dibincangkan sebelum ini dalam interaksi peringkat tinggi antara para pemimpin EU dan Malaysia.

Perbincangan berkenaan diadakan semasa Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM), Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN/Persidangan Pasca Peringkat Menteri ASEAN (AMM/PMC).