MALAYSIA

Ewon Benedick umum letak jawatan sebagai Menteri KUSKOP

Hasimi Muhamad 08/11/2025 | 15:45 MYT
Ewon berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung Semakan Kehakiman yang difailkan oleh SLS. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Datuk Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet Persekutuan atas dasar prinsip dan pendirian berkaitan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Beliau menyatakan rasa tidak bersetuju terhadap pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes berkenaan, yang menurutnya “mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaysia seperti termaktub dalam dokumen-dokumen asas Perlembagaan.”

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.

“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu malam.

Jelas beliau, surat rasmi peletakan jawatan akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ewon menegaskan, perjuangan UPKO sejak penubuhannya adalah berasaskan kepada dokumen-dokumen asas pembentukan Malaysia, termasuk Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia.

Katanya, dokumen-dokumen itu menjadi asas kepada sejarah dan masa depan Persekutuan Malaysia serta harus dihormati dan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah tersebut dilaksanakan. Itu adalah prinsip dan sebab saya menyertai politik,“ tambahnya.

Beliau juga menegaskan agar AGC tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk pelaksanaan hak tersebut.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat dalam Kabinet Persekutuan.

Ewon memaklumkan bahawa satu Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO akan diadakan pada Isnin minggu depan bagi membincangkan agenda Sabah First sebagai asas hala tuju parti itu.

#Jabatan Peguam Negara #Perjanjian Malaysia 1963 #Peguam Negara #letak jawatan