KUALA LUMPUR: Barisan Exco kerajaan-kerajaan negeri diharap terus menyokong pelaksanaan program mengikut kerangka perpaduan yang dibangunkan bagi memperkukuh penyatupaduan masyarakat pelbagai kaum selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan masa kini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang dalam kenyataan berkata usaha pemantapan tadbir urus perpaduan terutamanya di peringkat negeri yang melibatkan pentadbiran daerah perlu diperkasakan agar misi perpaduan dapat dibawa secara bersepadu untuk kepentingan rakyat dan negara.

Beliau semalam mempengerusikan Majlis Mesyuarat bersama Menteri Perpaduan Sabah dan Sarawak serta Exco Perpaduan Negeri (MExUnity) kedua bagi 2023.

MExUnity dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan keanggotaannya terdiri daripada barisan Exco Perpaduan Negeri dan Exco Hal Ehwal Agama selain Islam.

Dilaksanakan bermula 2020, MExUnity adalah platform perbincangan antara Menteri Perpaduan dan barisan Exco kerajaan negeri mengenai usaha penyatupaduan termasuk perancangan dan pelaksanaan program perpaduan di peringkat negeri bagi memastikan perpaduan negara terus dipelihara dan diperkukuh.

Mesyuarat semalam membincangkan mengenai beberapa perkara utama seperti cadangan pemerkasaan Rukun Tetangga sebagai penggerak masyarakat progresif, pemantauan dan pengurusan isu-isu perpaduan melalui sistem e-Sepakat dan pelaksanaan Program Wacana Perpaduan yang telah mengupas tentang defisit sosial di negara ini.

"Usaha yang dibincangkan ini adalah bermatlamat ke arah pencapaian pembudayaan masyarakat MADANI yang menjadi aspirasi kerajaan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA