MALAYSIA

Exco Selangor dedah terima ugutan video

Bernama 14/09/2025 | 10:15 MYT
Mohd Najwan berkata beliau turut diugut agar membayar wang sebanyak AS$100,000 sebagai timbal balas bagi mengelakkan penyebaran video berkenaan. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi mendedahkan menerima e-mel berbaur ugutan daripada satu akaun tidak dikenali, memaparkan tangkap layar video yang disunting menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan gambar wajahnya.


Ringkasan AI
  • Exco Selangor Mohd Najwan Halimi menerima e-mel ugutan yang memaparkan video disunting menggunakan teknologi AI dengan wajahnya.
  • Beliau diugut membayar AS$100,000 (RM420,000) untuk mengelakkan penyebaran video tersebut dan telah membuat laporan kepada MCMC serta akan membuat laporan polis.
  • Najwan menggesa masyarakat berwaspada terhadap penipuan dan ugutan siber kerana ia mencemarkan maruah individu serta mengancam keselamatan masyarakat.


Mohd Najwan berkata menerusi e-mel yang diterimanya pada Jumaat lepas, beliau turut diugut agar membayar wang sebanyak AS$100,000 (RM420,000) sebagai timbal balas bagi mengelakkan penyebaran video berkenaan.

Susulan itu, beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar siasatan lanjut dijalankan berhubung penyalahgunaan teknologi AI serta cubaan menyebarkan fitnah menerusi penyebaran video pornografi.

"Pihak saya juga akan membuat laporan polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung ugutan di sebalik e-mel ini," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Najwan percaya dalang di sebalik ugutan itu mengguna pakai modus operandi yang sama seperti insiden ugutan video bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.

"Justeru, saya menyeru masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet.

"Penyebaran kandungan palsu dan fitnah sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu bahkan turut mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat," katanya.

-- BERNAMA





#Exco Selangor #Mohd Najwan Halimi #terima e-mel ugutan #video lucah