NATIONAL
Exco Terengganu, dua anak bergraduasi MBA bersama
RAzali bergraduasi sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101, Sabtu lalu, bersama anaknya, Mohd Alinur Haqqim, 36, dan Nur Aisyah Hanim, 34.
KUALA TERENGGANU: Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris telah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bersama dua anaknya.
Ringkasan AI
- Datuk Razali Idris berjaya menamatkan pengajian MBA di UiTM Shah Alam bersama dua anaknya, Mohd Alinur Haqqim dan Nur Aisyah Hanim, sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101.
- Razali menyambung pengajian MBA ketika memegang jawatan sebagai Senator di Dewan Negara, walaupun jadual padat dan penuh komitmen, serta terpaksa menangguhkan satu semester untuk bertanding dalam PRN sebagai calon ADUN Kijal.
- Razali berharap pencapaian ini menjadi motivasi kepada generasi muda untuk terus menuntut ilmu dan membuktikan bahawa pendidikan tidak terhenti walaupun usia meningkat.
Beliau bergraduasi sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101, Sabtu lalu, bersama Mohd Alinur Haqqim, 36, dan Nur Aisyah Hanim, 34.
Menurut Razali, kejayaan itu amat bermakna kerana beliau memutuskan untuk menyambung pengajian ketika memegang jawatan sebagai Senator di Dewan Negara.
"Saya mengikuti pengajian Master (MBA) ini ketika memegang tanggungjawab sebagai Senator di Dewan Negara. Ketika itu, jadual amat padat dan penuh komitmen, namun dengan izin Allah SWT, segalanya dipermudahkan hingga berjaya menamatkan pengajian.
"Saya juga terpaksa menangguhkan satu semester pengajian bagi memberi laluan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Razali yang memiliki Diploma Pengurusan Perniagaan dari Stamford College, Kuala Lumpur, mengikuti pengajian MBA dari 2021 hingga 2023 melalui laluan kemasukan khas berdasarkan pengalaman kerja (APEL.A) di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai motivasi kepada generasi muda agar tidak berputus asa dalam menuntut ilmu.
Menurut Razali, dengan pengalaman yang ada, beliau akan terus menunaikan tugas sebagai Exco serta melaksanakan amanah yang diberikan iaitu berkhidmat untuk rakyat.
"Pencapaian ini membuktikan bahawa menuntut ilmu tidak terhenti walaupun usia meningkat. Kalau tercicir di awal, tidak bermakna gagal selamanya. Teruskan usaha dan jangan pernah berhenti belajar.
"Semoga pencapaian ini juga dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan," ujarnya. - Sinar Harian