DUBAI: Expo 2020 Dubai yang berlangsung 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) jelas menepati tema "Menghubungkan Minda, Mencipta Masa Depan" dalam menzahirkan komitmen dan daya tahan semangat manusia untuk maju dan lebih kukuh secara bersama.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam ucapannya bersempena Hari Malaysia berkata, penyertaan negara ke ekspo ini juga turut memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam mendepani perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.

"Melalui Pavilion Malaysia yang bertemakan ‘Energising Sustainability’, ia menunjukkan komitmen negara kita untuk pembangunan mampan yang mengimbangi kemajuan sosio-ekonomi dan cabaran pemeliharaan alam sekitar.

"Expo 2020 Dubai telah membuka banyak peluang pasaran baharu dan serta menarik minat pelbagai pihak untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya.


"Kami telah menyusun 26 program perdagangan dan perniagaan mingguan secara khusus untuk mempromosikan keupayaan dan penawaran Malaysia dalam sektor ekonomi utama.

"Program-program ini diterajui dan disokong oleh 21 kementerian, 70 agensi dan lima kerajaan negeri, membawa bersama mereka perwakilan perniagaan mingguan daripada pelbagai syarikat terkemuka di Malaysia," katanya.

Malah, jelasnya lagi, penyertaan ke Expo 2020 Dubai sangat penting kepada Malaysia sebagai strategi pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19.

"Sukacita saya dimaklumkan bahawa Malaysia telah melepasi sasaran dan berjaya memperoleh lebih daripada AS$8.38 bilion KPI perniagaan daripada syarikat global dalam tempoh lapan minggu pertama penyertaan di Expo 2020 Dubai," katanya lagi.

Ia sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia untuk terus menjadi hab perniagaan kepada pelabur dan rakan dagangan dunia.

Malaysia dan UAE, jelasnya, mengekalkan hubungan dua hala yang erat dan terjalin lama, terikat kuat oleh hubungan ekonomi dan budaya.

Tahun lepas, UAE menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import kedua terbesar di rantau Timur Tengah dan Asia Barat.