MALAYSIA

Eyna bukan 'minah rempit' - Abang jururawat maut

Sinar Harian 23/08/2025 | 11:00 MYT
Antara gambar kenangan Roslinawati (tengah, biru) yang turut disertai suaminya (dalam bulatan). Percutian terakhir Roslinawati bersama suami dan anaknya ke Jepun. - Foto Sinar Harian
BERA: "Sejak remaja adik meminati aktiviti pemotoran sebagai hobinya dan mendapat sokongan keluarga dengan aspek keselamatan menjadi keutamaan."


Ringkasan AI
  • Eyna Lee, 33, maut dalam kemalangan motosikal RXZ di LPT2 ketika dalam perjalanan ke program RXZ Members 7.0 bersama keluarga; mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh.
  • Keluarga menafikan dakwaan negatif, menegaskan Eyna bukan 'minah rempit' dan sentiasa mengutamakan keselamatan dalam aktiviti permotoran yang diminatinya sejak remaja.
  • Eyna dikenang sebagai seorang ceria, pemurah dan suka bersedekah, dan telah selamat dikebumikan di Felda Tementi; keluarganya reda dengan pemergian tersebut


Demikian kata Emey Lee, 45, ekoran kejadian yang menyebabkan adiknya, Roslinawati Ramli, 33, yang lebih dikenali, Eyna Lee maut selepas RXZ ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu pada Jumaat.

Menurutnya, perjalanan ke RXZ Members 7.0 dari Simpang Renggam, Johor itu disertai suami adiknya sendiri, Mohd Nor Mustapa, 34, serta dua anak mereka, Alyssa Sofea, 4, dan Alyssa Waheeda, 6, ibu bapa mentua dan ahli keluarga lain.

Jenazah Allahyarham Roslinawati disempurnakan di kediaman keluarganya di Felda Tementi, Bera. - Foto Sinar Harian


"Adik saya bukan 'minah rempit' seperti yang ramai katakan dan tidak timbul istilah tinggal suami kerana nak pergi ke RXZ Members 7.0.

"Arwah adik memang meminati aktiviti permotoran dan tidak pernah terlepas ke sana dan turut memiliki RXZ sendiri yang dibeli sejak usia 21 tahun, ketika kejadian dia menggunakan RXZ milik suaminya," katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, setiap trip adiknya akan disertai ibu bapa, suami dan adik-beradik lain untuk memastikan keselamatan adik.

"Sedih memang sedih dengan kehilangan adik namun kami sekeluarga reda dengan ujian ini," tambahnya kali terakhir berjumpa dengan adiknya pada 29 Julai lalu di Felda Tementi.

Jelasnya, adiknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tementi kira-kira jam 2.45 pagi.

Mengakui terkejut dengan kehadiran orang ramai, Emey Lee menyifatkan adiknya yang juga anak keenam daripada tujuh beradik itu seorang yang ceria, peramah, pemurah dan suka membantu orang lain.

"Satu lagi sikap adik, suka bersedekah terutamanya sedekah Subuh," tambahnya.

Jenazah Allahyarham Roslinawati yang maut ketika dalam perjalanan ke himpunan RXZ Member 7.0 dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu. - Foto Sinar Harian


Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa menunggang motosikal di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari rumah sekitar jam 1 pagi menuju ke Kuala Terengganu.
Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya. -- Sinar Harian






#nahas RXZ #bukan minah rempit #LPT2 #Roslinawati Ramli #maut nahas