Bekas ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Ezam Mohd Nor menyifatkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli politik yang terdesak sehingga sanggup mendakwa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mewujudkan kerajaan perpaduan.

Ezam berkata Anwar sangat terdesak untuk memegang kuasa sehingga terpaksa mengusulkan pembentukan kerajaan perpaduan selain cuba mengalih tumpuan terhadap masalah dalaman yang dihadapi di Selangor.

"Dia akan buat macam-macam sebab itu kalau boleh saya ingin ingatkan rakan-rakan beliau dalam pakatan untuk menilai sebenar sikap sebenar Anwar Ibrahim sebagai pemimpin politik opportunis.

"Dia bukan punya idealism, dia hanya mahukan kuasa dan sebab itu dia sanggup dalam keadaan sebelum ini dia melakukan perkara yang cukup ironik menyerang kerajaan habis-habisan.

"Seolah-olah Datuk Najib tidak ada kredebiliti sama sekali, ini kerajaan yang bankrap, kerajaan yang rosak tak ada imej tapi tiba-tiba dia boleh mengusulkan kerajaan perpaduan, boleh kompromi, boleh kerjasama, ini nilai orang yang tidak ada prinsip," katanya ketika sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman mou antara Sekretariat Transformasi Serantau dan Institut Pembangunan Kepimpinan, Universiti Indonesia bagi penganjuran bersama Nusantara Leadership Camp 2013.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan oleh Anwar itu telah dijawab oleh Pejabat Perdana Menteri yang menafikan berlaku sebarang usaha ke arah perkara sedemikian.

Kenyataan itu berkata, dakwaan Anwar mengesahkan ada usaha baru mewujudkan kerajaan perpaduan adalah satu ciptaan dan rekaan semata-mata bagi kepentingan politik Anwar dan pembangkang.

Sebelum itu, portal berita Asia Sentinal melaporkan Anwar mendakwa Najib menerusi bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla telah menawarkan kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan antara UMNO dan PKR.

Anwar berkata beliau menolak cadangan berkenaan berikutan isu asas mesti diselesaikan dahulu seperti menghentikan serangan perkauman ke atas kaum Cina dan India melalui akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia.