Facebook rasmi Mohamad Sabu digodam

Bernama
Jun 13, 2023 10:54 MYT
Sebarang status atau kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook 'Mohamad Sabu' selepas waktu ia digodam adalah bukan daripada Mohamad atau pentadbir yang sah. - Fail/Sinar Harian
PUTRAJAYA: Laman sosial Facebook rasmi milik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu telah digodam kira-kira pukul 4 petang tadi, dan tidak boleh diakses oleh kesemua pentadbir akaun.
Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan hari ini mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa usaha mendapatkan balik akses akaun Facebook dengan nama 'Mohamad Sabu' sedang dilaksanakan.
Menurut kenyataan itu sebarang status atau kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook 'Mohamad Sabu' selepas waktu ia digodam adalah bukan daripada Mohamad atau pentadbir yang sah.
Semakan di laman Facebook Mohamad Sabu yang mempunyai 340,000 pengikut itu mendapati hantaran terakhir di laman sosial itu adalah berkenaan lawatan kerja beliau di Kelantan yang dimuat naik kira-kira pukul 3 petang hari ini.
-- BERNAMA
#Facebook #Mohamad Sabu #digodam #Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan