KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi bantuan dan peluang pendidikan terbaik kepada lima beradik yang tular tidak mempunyai dokumen pengenalan diri bagi memastikan mereka tidak keciciran dalam pembelajaran.
Fadhlina menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata proses pendaftaran persekolahan kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun itu berjalan lancar dan mereka kini dapat bersekolah sama seperti kanak-kanak lain.
Advertisement
"Pagi ini saya hadir ke Sekolah Kebangsaan Petaling 1 untuk menyantuni lima beradik yang kisah mereka tular baru-baru ini kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Tindakan proaktif Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah memastikan isu yang berbangkit diselesaikan segera dan anak-anak warganegara ini mendapat dokumen pengenalan diri masing-masing," katanya.
Pada 12 Feb lepas, kelima-lima beradik itu menerima sijil kelahiran dan MyKid yang diserahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pangsapuri Rima Riang.
Lima kanak-kanak itu ialah Mohamat Nor Shuhairil Mohd Zahari, 11, Noor Hairiza, 10, Noor Syuhaila, lapan, Mohamat Nor Zuhairi, tujuh, dan Noor Faszila, empat.
Sebelum ini, perjuangan ibu tunggal Noorsyuhada Mohamad, 33, yang juga ibu kepada tujuh anak mula mendapat perhatian selepas video kedaifan keluarganya tular di media sosial melalui inisiatif seorang aktivis sosial pada 24 Jan.
JPN Selangor kemudiannya segera turun padang memulakan proses verifikasi dokumen dan pengesahan hospital.
-- BERNAMA