SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Fadhlina sedia teliti pandangan semua pihak tangani isu buli

Bernama 21/08/2025 | 07:40 MYT
Fadhlina berkata beliau bersedia meneliti semua cadangan, termasuk sokongan psikososial, latihan kepada guru dan warden, modul pendidikan untuk ibu bapa, pemantauan di institusi pendidikan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada semua pihak bagi memperkukuh aspek keselamatan serta menangani gejala buli di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).


Ringkasan AI
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengalu-alukan cadangan semua pihak bagi memperkukuh keselamatan dan menangani gejala buli di institusi pendidikan, termasuk sokongan psikososial, latihan guru dan warden, serta pelan anti-buli.
  • KPM sedang melaksanakan audit keselamatan, pemasangan CCTV dan penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan sebagai langkah memperkukuh ekosistem selamat di sekolah.
  • Sebanyak RM3 juta telah diluluskan untuk pemasangan CCTV di sekolah berasrama terpilih, sebagai usaha mencegah insiden tidak diingini dan memperkukuh pemantauan keselamatan secara berperingkat.


Fadhlina berkata beliau bersedia meneliti semua cadangan, termasuk sokongan psikososial, latihan kepada guru dan warden, modul pendidikan untuk ibu bapa, pemantauan di institusi pendidikan, serta pelan anti-buli dalam usaha menangani isu tersebut.

"Usaha memerangi salah laku buli dan memastikan ekosistem selamat di institusi pendidikan adalah tanggungjawab bersama. Pada masa ini, KPM sedang melaksanakan beberapa inisiatif penting bagi memperkukuh aspek keselamatan, termasuk audit keselamatan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), dan penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi catatan di Facebook selepas menerima memorandum daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) mengenai penambahbaikan pemantauan keselamatan dan usaha bagi menangani salah laku buli.

KPM baru-baru ini meluluskan peruntukan RM3 juta untuk pemasangan CCTV di sekolah berasrama terpilih bermula serta-merta, sebelum diperluas secara berperingkat ke semua sekolah berasrama di seluruh negara.

Menurut KPM, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk memperkukuh pemantauan, mencegah insiden tidak diingini, dan mewujudkan ekosistem selamat serta kondusif bagi semua murid.

-- BERNAMA



#kes buli #Fadhlina Sidek #KPM #warden asrama