MALAYSIA
Fadil Marsus pangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman
Majlis serah terima tugas turut disaksikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. -Facebook PDRM
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus akan memangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman berkuat kuasa esok.
Ringkasan AI
- Datuk Fadil Marsus akan memangku jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mulai esok, menggantikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
- Majlis serah terima tugas disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, yang menyifatkan pelantikan Mohd Shuhaily sebagai penghormatan besar kepada PDRM.
- Mohd Shuhaily menyatakan penghargaan kepada warga PDRM dan menekankan sinergi antara PDRM dan AKPS sebagai pemangkin utama dalam usaha mengawal sempadan negara.
Ini susulan pertukaran Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bermula pada tarikh sama.
Majlis serah terima tugas yang diadakan di Dewan Theatrette, Bukit Aman di sini itu disaksikan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Mohd Khalid dalam ucapannya berkata pelantikan Mohd Shuhaily merupakan satu penghormatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana diberi kepercayaan untuk mengetuai satu lagi agensi yang begitu penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terkawal.
"Jadi ini bukan perkara kecil dan saya percaya ia satu amanah berat yang perlu dilaksanakan oleh beliau. PDRM secara terbuka akan memberikan sokongan padu serta tidak berbelah bahagi untuk memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik serta berkesan," katanya.
Mohd Shuhaily dalam ucapannya pula berkata beliau berterima kasih kepada semua warga PDRM khususnya pasukan JSJ yang memberi dorongan dan sokongan sepanjang satu tahun 11 bulan menggalas jawatan Pengarah JSJ.
"Ini bukanlah selamat tinggal, tetapi jendela baharu dalam kerjaya saya. Sinergi di antara PDRM dan AKPS adalah pemangkin utama untuk menjayakan hasrat kerajaan dalam mengawal sempadan negara," katanya.
-- BERNAMA
#Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
#Mohd Shuhaily Mohd Zain
#Fadil Marsus
#majlis serah terima tugas