PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa perniagaan Malaysia memperkukuh perkongsian sedia ada dan meneroka potensi baharu bagi kerjasama dengan rakan perniagaan di Kenya, selain penekanan terhadap kemampanan sebagai elemen teras minyak sawit Malaysia.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata Kenya mempunyai kepentingan yang besar untuk industri minyak sawit Malaysia seperti yang ditunjukkan menerusi kemunculan negara Afrika sebagai destinasi kelima terbesar bagi eksport minyak sawit Malaysia, dengan jumlah melebihi 763,000 tan pada 2022.

"Saya yakin terdapat peluang besar untuk sektor swasta di kedua-dua negara menilai semula pendekatan perniagaan (dan) membentuk perkongsian serta pakatan strategik bagi meneroka laluan baharu untuk mengembangkan perniagaan minyak makan dan minyak sawit," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Minyak Sawit Malaysia Afrika Timur 2023 di Nairobi, Kenya pada Selasa.

Beliau berkata forum itu, yang bertujuan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit dan memupuk peluang rangkaian, mengenal pasti kepentingan Kenya sebagai rakan kongsi dagangan dan pengguna utama minyak sawit.

Acara bertemakan 'Meneraju Penyelesaian Mampan untuk Esok yang Lebih Baik' itu adalah sejajar dengan senario semasa global selain menekankan hubungan dua hala Malaysia-Kenya, mengetengahkan peranan Malaysia dalam menyediakan produk mampu milik untuk Afrika di samping mematuhi keperluan kemampanan untuk masa depan yang lebih baik, katanya.

Beliau menegaskan dalam menunjukkan komitmen kepada kemampanan, Malaysia ialah antara negara pengeluar minyak sawit di dunia dengan piawaian pensijilan kemampanannya sendiri yang dikenali sebagai Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

"Piawaian MSPO dibangunkan mengikut peraturan negara dan antarabangsa sebagai penetapan standard dan menunjukkan kod bersama bagi amalan terbaik di sepanjang rantaian bekalan, daripada penanaman sawit sehingga pemprosesan minyak sawit," katanya.

Fadillah berkata piawaian pensijilan itu ditetapkan sebagai mandatori sejak 1 Jan, 2020 dengan objektif untuk memastikan industri Malaysia menghasilkan minyak sawit diakui mampan menepati keperluan pengguna antarabangsa.

Beliau berkata terdapat begitu banyak peluang yang belum dimanfaatkan dalam derivatif sawit nilai tambah lebih tinggi hiliran termasuk oleokimia, farmaseutikal, makanan diproses, produk khusus dan jenama pengguna yang boleh dimanfaatkan dan diteroka untuk pelaburan bersama.

Minyak sawit memiliki peranan penting dalam mempertingkatkan jaminan makanan global menerusi sumbangan besar kepada industri makanan, katanya.

"Kemampuan (dari segi harga) dan ketersediaan minyak sawit membantu memastikan kebolehsampaian makanan kepada masyarakat merentas latar belakang sosio-ekonomi yang berbeza terutama di wilayah yang menghadapi sumber minyak alternatif yang mungkin sukar diakses atau mahal," katanya.

Fadillah turut mengambil peluang berkongsi prestasi minyak sawit Malaysia pada forum itu dengan berkata minyak sawit dan eksport produk sawit Malaysia bernilai US$29.7 bilion pada 2022, menjadikannya komoditi pertanian bernilai tertinggi yang dieksport. (US$1=RM4.65)

Malaysia ialah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dengan menyumbang 23 peratus kepada bekalan global tahun lepas.

"Industri kami berkembang maju dengan didorong sokongan institusi yang teguh ditambah dengan kehadiran menyeluruh di seluruh rantaian nilai," katanya selain menambah, industri minyak sawit di Malaysia menyediakan pekerjaan langsung kepada lebih 450,000 pekebun kecil.

-- BERNAMA