KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar semua pihak memahami, menghayati dan mengamalkan doktrin Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Baginda bertitah, Demokrasi Berparlimen apabila difahami, dihayati dan diamalkan, berupaya menjadi sauh bagi membantu mewujudkan kerajaan yang stabil.

Sultan Nazrin menambah, kerajaan yang mengamalkan budaya tadbir urus yang telus dan terpuji, adalah kerajaan yang mendapat keyakinan, penerimaan serta sokongan rakyat.  

“Doktrin Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen mengandungi semangat luhur yang perlu difahami.  

“Doktrin tersebut, jika difahami semangatnya, dihayati lalu diamalkan akan mewujudkan sistem pemerintahan yang saling imbang mengimbangi dan sistem berkerajaan yang saling lengkap melengkapi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah ketika berkenan melancarkan Buku ‘Kedaulatan Malaysia: Governan Utama Negara’ di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu.

Demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, Sultan Nazrin turut bertitah, cabang eksekutif dan kehakiman, wajib merangkaikan jalinan kerjasama dalam semangat saling melengkapi, di samping memenuhi peranan semak dan imbang.

Titah Sultan Nazrin ia bagi membangunkan sebuah negara Malaysia yang berdaulat dan mengamalkan tadbir urus yang terserlah.  

“Sedarilah! Begitu mudah menyemaikan kebencian yang boleh memusnahkan, sedangkan begitu sukar menyemaikan rasa kasih sayang yang membina.  

“Sesungguhnya! usaha untuk menegakkan kebenaran dan keadilan itu memerlukan keberanian dan kekuatan yang lebih gagah daripada keberanian anggota tentera yang bertempur di medan perang.
 
“Sesungguhnya, takhta berupaya dan takhta bersedia memenuhi tanggungjawab untuk membina keyakinan ketika rakyat sedang dilambung gelombang krisis keyakinan dengan memenuhi peranan mekanisme semak dan imbang, demi memastikan berlakunya keadilan; memberikan jaminan bahawa setiap warga berkedudukan sama di sisi undang-undang, memastikan perlembagaan diluhurkan dan undang-undang didaulatkan,” tambah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, Buku Kedaulatan Malaysia: Governan Utama Negara’  yang ditulis oleh Datuk Prof. Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain bertujuan memberi pencerahan mengenai maksud kedaulatan di sisi falsafah undang-undang.

Buku tersebut juga, jelas baginda menghuraikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja sebagai tonggak kedaulatan Malaysia.
 
“Kedaulatan, istilah yang berakar daripada perkataan ‘daulat’, bermaksud hal, keadaan atau sifat daulat; merujuk kepada berkat kebahagiaan yang ada pada raja yang memerintah, kuasa atau hak tertinggi yang dimiliki oleh raja, kerajaan, undang-undang dan sebagainya ke atas sesuatu hal.  

“Daulat juga ditakrifkan sebagai kuasa atau keistimewaan luar biasa yang dipercayai dimiliki oleh raja, keturunan raja dan peralatan diraja.

“Daulat turut dikaitkan dengan perkara buruk yang dipercayai berlaku kerana melanggar larangan atau melakukan perbuatan yang tidak baik terhadap raja,” titah Sultan Nazrin.

Buku tersebut meletakkan enam eleman antaranya kedaulatan negara Malaysia berpaksi pada kedudukan raja-raja Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu perlu diberi tafsiran yang betul untuk menjelaskan sistem perlembagaan terdiri daripada falsafah, doktrin dan prinsip.