PERTAMANYA, kita perlulah faham konsep pengiraan ekonomi yang tidak semudah ABC. Hari ini, ekonomi global dalam tahap genting akibat perang Rusia-Ukraine dan mungkin juga disebabkan pasca Pendemik COVID-19.

Negara besar dalam pengeluaran sumber makanan yang terjejas akan menyebabkan kesan domino kepada negara pengguna. Oleh hal yang demikian, negara kita kini berhadapan cabaran ekonomi global yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang.

Hari ini, rakyat Malaysia mungkin akan dimainkan dengan perang persepsi terhadap kenaikan harga barang yang sedang berlaku di negara kita. Namun asas terhadap isu kenaikan barang ini, kita perlu faham dahulu jumlah subsidi kerajaan berikan kepada rakyat mencecah RM74 bilion iaitu merupakan jumlah yang agak besar dalam menjamin kos sara hidup rakyat yang relevan.

Kita sering menyangkakan kerajaan mengapungkan harga ayam pasaran namun sebenarnya kerajaan telah mengalihkan subsidi ayam dari penternak kepada rakyat dan menghapuskan permit import (AP) dalam usaha membekukan kartel ayam yang merupakan punca kenaikan harga ayam pasaran dan kerajaan akan mengumumkan harga siling ayam yang baharu dalam masa terdekat.

Selain itu, ada juga yang menyatakan bahawa kerajaan telah merampas subsidi minyak masak walhal ia cuma mengambil subsidi minyak botol yang hanya wujud ketika Perintah Kawalanan Pergerakan (PKP) sahaja, sedangkan kerajaan masih memberikan subsidi minyak masak kampit kepada seluruh 30 juta rakyat Malaysia.

Tambahan pula, berkenaan kos bahan api dan kos penjanaan, kita boleh menarik nafas lega apabila kerajaan masih komited dalam memberi subsidi sebanyak RM5.8 bilion kepada pengguna domestik, komersial dan industri.

Mungkin banyak lagi yang boleh dikupas dalam penetapan subsidi dan tindakan kerajaan memerangi krisis ekonomi global melalui platform perbincangan intelektual dan bukan sahaja perbincangan di jalanan yang tiada jalan penyelesaian.

Secara kesimpulannya, fenomena kenaikan barang berlaku di setiap negara hari ini akibat krisis ekonomi global yang tidak stabil.

Negara kita terlalu bergantung terhadap negara luar sehingga mengeluarkan pembelanjaan import bahan makanan mencecah hampir RM56 bilion pada tahun lepas.

Maka dengan itu, jika kita mengalami masalah pengeluaran global secara mudahnya berlaku kenaikan harga barang di negara kita. Oleh hal yang demikian, jalan penyelesaian jangka masa panjang yang terbaik adalah negara perlu memperkembangkan dan membangunkan industri pengeluaran sumber makanan dan keperluan asas.



* Muhammad A'linur Ahlam Abu Bakar ialah Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Mahasiswa tahun ke-3, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.