KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang melabuhkan tirainya pada Isnin.
Beliau berkata, penghargaan itu ditujukan kepada semua pihak yang terlibat sejak peringkat awal persiapan hingga selesai sambutan termasuk petugas, peserta, anggota keselamatan, petugas kesihatan, pengamal media, sukarelawan dan agensi berkaitan.
“Terima kasih yang istimewa buat seluruh rakyat Malaysia yang hadir memeriahkan Dataran Putrajaya, serta jutaan rakyat yang bersama-sama menyaksikan sambutan dari rumah.
“Kehadiran dan semangat anda semua menjadikan sambutan tahun ini begitu bermakna,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fahmi turut menyifatkan semua petugas yang bekerja di sebalik tabir sebagai wira yang memastikan kelancaran sambutan berkenaan.
“Semoga Malaysia yang kita cintai ini terus diberkati dengan kemakmuran, keharmonian dan kestabilan, serta kekal bersatu dalam kepelbagaian. Selamat Hari Kebangsaan,” katanya.
-- BERNAMA