BATANG KALI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi diminta segera mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) akses telekomunikasi di kawasan bencana.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau akan berbincang dengan MCMC serta penyedia rangkaian mudah alih bagi menyegerakan SOP itu terutama apabila wujud keperluan khusus untuk operasi mencari dan menyelamat.

[LAPOR LANGSUNG] Tanah runtuh Batang Kali: Angka korban meningkat ke 21 orang, 12 dikhuatiri hilang

"Saya hadir malam ini untuk teliti aspek komunikasi yang melibatkan liputan yang saya difahamkan rakan-rakan media hadapi kesukaran. Bukan media sahaja tetapi semua di sini, saya akui ia memang kurang memuaskan.

"Saya akan dapatkan maklumat penuh dan kita mungkin teliti semula beberapa perkara selain dapatkan kerjasama daripada pihak syarikat telekomunikasi untuk pastikan isu capaian sama ada Internet atau liputan tidak berulang terutama dalam situasi bencana pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi mencari dan menyelamat kejadian tanah runtuh di sini malam tadi selain meninjau gerak kerja pengamal media yang terganggu dengan isu jaringan telekomunikasi di kawasan itu.

Fahmi juga berkata sebagai langkah awal bagi mengatasi itu, pihak Telekom Malaysia (TM) dan syarikat telekomunikasi telah diarah menghantar 'Mobile Coverage Vehicle' bagi pelaksanaan 'Coverage On Wheels' (COW) di lokasi.

"Ada beberapa peralatan telekomunikasi yang telah dihantar termasuk daripada TM dan Celcom, Digi serta UMobile. Pihak Maxis juga sudah melakukan 'tilting' untuk bantu kurangkan isu tersebut yang kebanyakannya adalah masalah teknikal dan geografi.

"Saya difahamkan TM ada satu poin yang berdekatan di mana mereka boleh tarik fiber dan sedang dalam usaha untuk siapkan akses Wi-Fi," katanya.

Fahmi berkata beliau juga akan membawa laporan berhubung masalah itu ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.

Setakat tengah malam tadi, 12 mangsa masih dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya di sini pada awal pagi Jumaat.

-- BERNAMA