MALAYSIA
Fahmi sanggah Rafizi, tegaskan semakan semula draf RMK13 bukan tergesa-gesa
Fahmi berkata, keputusan menyemak semula RMK13 itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri beberapa minggu lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menafikan dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya langkah kerajaan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai reaksi tergesa-gesa.
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan dakwaan Rafizi Ramli bahawa semakan semula RMK13 adalah tindakan tergesa-gesa, dan menjelaskan ia telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sejak dua minggu lalu.
- Perdana Menteri meminta semua kementerian meneliti draf RMK13 dan memberi maklum balas kepada Kementerian Ekonomi; mesyuarat khas telah diadakan untuk menilai pandangan kementerian sebelum dokumen dimuktamadkan.
- Jemaah Menteri memutuskan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menggalas tugas Menteri Ekonomi bagi mempersiapkan draf akhir RMK13 yang akan dibentangkan di Parlimen untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata keputusan menyemak semula RMK13 itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri beberapa minggu lalu.
"Sebarang dasar, program atau keputusan dibuat, harus dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, namun bukan semuanya menepati apa yang dimahukan setiap kementerian.
"Dalam Jemaah Menteri, pelbagai pendapat akan diberikan. Sebarang keputusan itu perlu mengambil kira pandangan dari kementerian-kementerian berbeza ini.
"Sama juga kesnya untuk RMK13... sejak dua minggu lalu, sudah diminta beberapa perkara diteliti," jelasnya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu meminta semua kementerian meneliti draf RMK13 dan menghantar maklum balas masing-masing kepada Kementerian Ekonomi.
"Satu mesyuarat khas Jemaah Menteri telah diadakan pada Isnin lalu untuk meneliti pandangan daripada semua kementerian.
"Dalam mesyuarat itu, kita kenal pasti perkara diminta kementerian-kementerian ini yang perlu diambil kira Kementerian Ekonomi ketika membentuk dokumen RMK13.
"Itulah antara sebab Jemaah Menteri pada Rabu memutuskan Menteri Kewangan II, Datuk Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menggalas tugas dan fungsi Menteri Ekonomi," ujar Fahmi.
Menurutnya, ia sebagai langkah mempersiapkan draf akhir RMK13 sebelum dicetak dan dibentangkan di Parlimen.
Untuk rekod, RMK13 merupakan pelan pembangunan sosioekonomi negara untuk tempoh 2026 hingga 2030, bertujuan menetapkan keutamaan dasar, peruntukan belanjawan dan projek utama yang akan dilaksanakan kerajaan.