[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Fahmi ucap takziah kepada keluarga wartawan meninggal selepas liputan banjir

Bernama 26/11/2025 | 05:45 MYT
Wakil Astro AWANI di Perlis, Asri Shafii menghembuskan nafas terakhir hari ini pada usia 49 tahun disyaki akibat serangan jantung.
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat wakil Astro AWANI di Perlis Mohamad Asri Shafii yang meninggal dunia pada awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat Mohamad Asri Shafii, wakil Astro AWANI di Perlis yang meninggal dunia.
  • Asri meninggal selepas membuat liputan banjir di Hatyai, Thailand, dipercayai akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan pulang.
  • Allahyarham Asri, bekas wartawan RTM dan Bernama, meninggalkan isteri dan enam anak, yang termuda berusia 11 tahun.


Fahmi berkata beliau turut bersedih menerima khabar duka pemergian Allahyarham, yang membuat liputan secara langsung dari Kedah mengenai operasi evakuasi rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir di Hatyai, Thailand semalam.

"Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga serta sahabat handai Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini.

"Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah," katanya menerusi catatan di media sosial.

Asry, 49, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan banjir itu, dipercayai akibat serangan jantung.

Beliau pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak dengan yang bongsu berusia 11 tahun.

-- BERNAMA




#Fahmi Fadzil #ucap takziah #meninggal dunia #Mohamad Asri Shafii #wartawan Astro AWANI #Hatyai