KUALA LUMPUR : Kelecuran yang dialami oleh pemain bintang Selangor FC, Faisal Halim adalah pada tahap dua.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi memberitahu, kecederaan itu dikesan di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

"Susulan serangan asid terhadap saudara Faisal Halim di sebuah kompleks beli-belah petang tadi, saya telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan dimaklumkan bahawa saudara Faisal kini sedang dirawat di hospital.

"Keadaan beliau stabil namun mengalami kelecuran tahap dua di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada," maklum beliau dalam kenyataan pada Ahad.

BACA: Faisal Halim cedera disimbah cecair dipercayai asid

Najwan turut mengecam tindakan ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan serta membawa pelaku ke muka pengadilan.

"Didoakan agar saudara Faisal diberikan kekuatan dan semangat dalam menghadapi musibah ini serta dikurniakan kesembuhan segera," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik ini lagi.