Faizal Azumu bantu PM tumpu isu kesihatan dan ekonomi

Bernama
Ogos 6, 2021 09:24 MYT
Ahmad Faizal berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan oleh beliau ialah jalinan komuniti khususnya dalam menyampaikan pandangan rakyat kepada Perdana Menteri. - Gambar fail
SHAH ALAM: Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pelantikan beliau ke jawatan itu adalah untuk membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi tumpuan khas kepada masalah menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat.
Ahmad Faizal berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan oleh beliau ialah jalinan komuniti khususnya dalam menyampaikan pandangan rakyat kepada Perdana Menteri.
"Antara perkara yang saya diberikan tumpuan adalah dari segi jalinan komuniti iaitu 'engagement' dengan masyarakat yang tentunya ada banyak pandangan yang nak disampaikan kepada Perdana Menteri pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan di pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di sini hari ini.
Semalam dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Tambun dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri, bertanggungjawab dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.
Datuk Seri Faizal Azumu dilantik Penasihat Khas PM
BACA: Ahmad Faizal Azumu kini Penasihat Perdana Menteri bertaraf Menteri
Mengulas berhubung 31 Ahli Parlimen daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan pendirian untuk terus bersama serta menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau berkata keadaan politik sudah begitu dinamik.
"Walaupun sudah ada keputusan daripada parti yang mungkin bukannya datang daripada keseluruhan parti. Tetapi sesetengah pemimpin menggunakan kewarasan dan kebijaksanaan masing-masing, meletakkan kepentingan (rakyat) lebih utama melebihi kepentingan politik dan kemahuan parti.
"Mereka telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, bukan kerana kerajaan ini terlalu sempurna tetapi kerana kita berpandangan kita mesti bekerjasama dengan rapat agar kepentingan rakyat itu dapat diutamakan," katanya.
-- BERNAMA
#Faizal Azumu #Penasihat Khas #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #nasihat #krisis kesihatan #ekonomi