ALOR SETAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah menggerakkan Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-buahan Bermusim 2026 bagi memastikan lebihan pengeluaran sepanjang musim puncak tahun ini dapat dipasarkan dengan lebih tersusun.
Pengarah FAMA Kedah Shaiful Azhar Zolkipli berkata langkah itu bertujuan membantu menstabilkan harga pada peringkat ladang, meningkatkan pendapatan pekebun dengan memperluas saluran pemasaran, memperkukuh operasi pusat belian dan meningkatkan aktiviti pemprosesan bagi menyerap lebihan bekalan durian.
Beliau berkata musim puncak pengeluaran durian dijangka dari Jun hingga Ogos ini dan peningkatan bekalan yang tinggi itu berpotensi memberi tekanan kepada harga jika langkah intervensi tidak dilaksanakan secara proaktif.
“Pemantauan FAMA mendapati harga purata durian kampung pada peringkat ladang ketika ini antara RM1 hingga RM4 sekilogram bergantung kepada lokasi, kualiti buah dan kuantiti bekalan yang diterima.
“Bagi menangani situasi itu, FAMA Kedah melaksanakan tiga strategi utama, iaitu memperluas saluran pemasaran melalui 10 lokasi jualan buah-buahan bermusim di seluruh negeri serta mewujudkan tiga Pusat Belian Sementara (PBS) yang dikendalikan FAMA bersama-sama usahawan bimbingannya,” katanya.
Shaiful Azhar berkata demikian pada program Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegawai di sini hari ini.
FAMA juga menggerakkan tiga pusat operasi di Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi bagi melaksanakan intervensi khidmat pemasaran untuk membantu petani selain memanfaatkan Pusat Memproses Buah FAMA di Sungai Petani bagi menghasilkan produk separa siap seperti pes durian daripada lebihan bekalan.
Beliau berkata bagi menyokong pengurusan bekalan durian di seluruh negara, FAMA menyediakan 142 bilik sejuk dengan kapasiti penyimpanan keseluruhan 1,600 tan metrik bagi membantu mengekalkan kualiti produk dan mengurangkan tekanan pasaran ketika musim puncak pengeluaran.
Selain usaha pemasaran, beliau berkata FAMA Kedah melaksanakan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan di empat sekolah melibatkan kira-kira 2,000 murid selain menganjurkan Jualan Buah-buahan Bermusim di enam lokasi strategik yang berjaya memasarkan 10 tan metrik buah-buahan kepada pengguna.
Shaiful Azhar berkata FAMA juga sedang membangunkan simulasi sistem jejak Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) bagi memperkukuh pasaran eksport.
Selain itu, beliau berkata FAMA menggunakan Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan (SISDA) yang berupaya memantau bekalan serta harga secara berterusan, sekali gus memastikan industri durian negara terus berkembang secara mampan dan berdaya saing.
– BERNAMA