FAMA perkasa peranan generasi muda, pastikan kelangsungan sektor agromakanan

Faisal Iswardi bersama peserta Kursus Teknik Pengiraan dan Pengurusan Kos Produk sempena FAT peringkat negeri Perlis 2025 pada Selasa. - Gambar FAMA Perlis
KANGAR: Program FAMA Agropreneur Tour (GAT) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sejak 2023, terus menjadi wadah penting dalam memperkasa penyertaan generasi muda bagi menjamin sektor agromakanan negara yang kini berdepan kekurangan tenaga muda.
Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, penyertaan belia dalam sektor itu masih rendah apabila 45.3 peratus pengusaha pertanian di negara ini terdiri daripada mereka berusia 60 tahun ke atas, menurut Banci Pertanian 2024 Jabatan Perangkaan.
"Keadaan ini merupakan cabaran besar kepada pertanian negara, justeru, melalui pelaksanaan FAT dan Geran Agropreneur Muda, FAMA berusaha melahirkan lebih ramai usahawan muda yang bukan sahaja berdaya tahan, malah mampu mengurus perniagaan secara moden dan berinovasi.
"Kita mahu mereka melihat bidang pertanian sebagai satu kerjaya profesional yang boleh menjana pendapatan tinggi kerana bidang pertanian kini semakin moden dengan penggunaan teknologi automasi dan Internet Pelbagai Benda (IoT)," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Teknik Pengiraan dan Pengurusan Kos Produk sempena FAT peringkat negeri Perlis 2025, di sini, pada Selasa.
Faisal Iswardi berkata, untuk tahun ini, sebanyak 24 siri kursus FAT dirancang dengan Perlis menjadi lokasi ke-22, manakala kursus itu antara lain turut melibatkan sesi bersama agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi aspek pelabelan makanan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi ketahanan serta penjenamaan produk.
Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 2,197 usahawan muda di seluruh negara dibangunkan di bawah program Agropreneur Muda bagi tempoh 2023 hingga kini, melibatkan nilai peruntukan geran sebanyak RM50,050,808.06.
"Melalui usaha ini, kita berharap lebih ramai anak muda menyertai sektor agromakanan sekali gus membantu menyeimbangkan dagangan makanan negara...potensi besar dalam sektor ini wajar dimanfaatkan kerana peluang pasaran bukan sahaja meliputi keperluan domestik tetapi juga eksport ke luar negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


